KUALA LUMPUR : Mungkin ramai yang berpendapat, isu keganasan rumah tangga terhadap wanita hanya melibatkan penderaan fizikal semata-mata.
Istilah keganasan rumah tangga sebenarnya turut dikaitkan dengan perlakuan terhadap pasangan secara lisan, seksual, psikologi atau sosial membabitkan perbuatan penganiayaan suami terhadap isteri atau anak-anak.
Sejak kebelakangan ini, negara sentiasa dikejutkan dengan berita kontroversi rumah tangga pasangan selebriti dan pempengaruh media sosial, yang kebanyakannya melibatkan pihak ketiga.
Ada yang sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tetapi sebenarnya penderaan emosi dan mental lebih meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan malah mungkin sepanjang hayat jika tidak dibantu dan dibendung.
Turut dikejutkan apabila pasangan selebriti romantis di Indonesia, Rizky Billar dan Lesti Kejora pernah merekodkan isu sama, tahun lalu.
Malah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2022 dilaporkan mendedahkan kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 42 peratus, iaitu sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2021, berbanding 5,260 pada 2020.
Justeru, MEDIA VARIASI berkesempatan menemubual beberapa artis wanita mengulas mengenai isu keganasan rumah tangga.
Pelakon, Puteri Aishah, 28, menasihatkan kepada insan bernama wanita supaya tidak menzalimi diri sendiri dengan menyayangi diri terlebih dahulu sebelum orang lain, jika melalui tempoh perhubungan dengan pasangan hidup.
“Sayang macam mana pun, kita kena fikir diri dulu, sayang diri dulu, sebab pengakhirannya ia berbalik kepada kita, badan sendiri dan hati sendiri semua kita yang kena tanggung.
“Kalau sayang berlebih-lebihan tanpa memikirkan diri pun boleh merugikan diri sendiri, jadi buat apa? Jangan zalim diri sendiri,” katanya.
Isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Firdaus Sulaiman itu turut menasihatkan supaya meninggalkan segera pasangan bersifat toksik dalam perhubungan.
Sementara itu, meskipun mengakui usia perkahwinan baru setahun jagung, Bella Astillah yang juga isteri kepada pelakon, Aliff Aziz, pula berkongsi pendapat supaya wanita harus meletakkan kepercayaan diri sepenuh hati dalam apa jua keputusan terhadap diri, jika melibatkan isu berkaitan.
“Bella nak beri nasihat pun, Bella masih melalui fasa alam perkahwinan, masih berjuang, tetapi cuma boleh berkongsi.
“Untuk (membuat) keputusan ni, kita tidak boleh minta (keputusan) daripada orang lain, ini daripada diri sendiri. Percaya diri sendiri dalam apa jua keputusan diri,” katanya yang turut mendoakan kesihatan terbaik kepada Nurul Shuhada, isteri kepada pelakon tanah air yang cedera di muka yang didakwa meninggalkan cacat kekal dipercayai akibat ditumbuk lelaki berkenaan.
“Stay strong, apa pun keputusan awak (Nurul Shuhada) kita nak yang terbaik untuk Shu,” tambahnya.
Sementara itu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle yang sebelum ini mendedahkan dia dipukul seorang bekas kekasih sebelum bercinta dengan Farid Kamil, menerusi sebuah program di Youtube turut senada dengan Puteri Aishah dan Bella Astillah.
Diana yang lebih senang menggelarkan diri sebagai D itu, berpendirian tidak ada kompromi terhadap lelaki yang mengasari kaum wanita, namun mahu wanita itu sendiri bangkit berjuang mempertahankan hak sebagai seorang wanita juga.
“Kita (wanita berpasangan) akan lalui setiap fasa, semua orang akan lalui fasa mencabar, tapi macam mana cara kita ‘bounce back’, perbetulkan keadaan.
“Bagi D, kita kena sentiasa mempertahankan hak kita, semoga ada sinar bahagia, cari jalan terbaik tetapi terpulang kepada dia (mempertahankan rumah tangga atau sebaliknya),” katanya.