KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini membenarkan permohonan bekas isteri Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Emilia Hanafi meminda pernyataan pembelaan dan tuntutan balas harta sepencarian.
Tuntutan itu ekoran permohonan dibuat oleh peguam syarie, Azmi Mohd Rais dari firma guaman
Zulkifli Yong Azmi & Co mewakili plaintif, berhubung permohonan interlokutori.
Interlokutori berkenaan membabitkan kebenaran meminda pernyataan pembelaan dan tuntutan balas kes harta sepencarian yang dikemukakan pada 17 Januari lalu.
Hakim Syarie Abdul Syukor Abd Hamid kemudian meluluskan permohonan interlokutori Emilia bertarikh 27 Mei 2022 dalam kes harta sepencarian.
Mahkamah turut memerintahkan penyata pembelaan dan tuntutan balas terpinda untuk memperincikan atau menambah senarai harta bagi tujuan difailkan pada 27 Mac ini.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 7 April depan.
Kos guaman sebanyak RM1000 dianugerahkan kepada responden kerana pengurusan kes mengambil masa yang panjang.
Peguam mewakili responden, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Ummi Kartini hadir namun anak guamnya tidak hadir.
Emilia hadir bersama peguamnya, Tetuan Zulkifli Yong Azmi dan Tetuan Nazri Yahya & Co serta wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Sisters In Islam (SIS).
Media sebelum ini melaporkan, pihak SM Faisal membuat tuntutan terhadap sebuah rumah terletak di Serene Kiara bernilai kira-kira RM6 juta yang dimiliki secara bersama oleh kedua-dua mereka.
Rumah berkenaan dibeli pada tahun 2009 dan dijadikan rumah kelamin sepanjang tempoh perkahwinan mereka, telah dituntut SM Faisal pada 17 Mac lalu.
Emilia dan Faisal mendirikan rumah tangga pada 2004 dan dikurniakan tiga cahaya mata, sebelum bercerai pada 29 Januari 2016.
Ketika ini, Faisal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.