NETIZEN berdebat lagi di laman sosial, kali ini mereka hangat mempertikaikan satu tips perniagaan yang dikongsi Ainon Mohd.
Ainon yang sering memberikan pelbagai tips usahawan di laman sosial telah mengundang perhatian netizen apabila dia berkongsi mengenai satu tips yang bertajuk ‘tidak perlu belanja pekerja makan’ menerusi Facebook miliknya.
Rata-rata tidak bersetuju dengan konsep diketengahkan pengasas syarikat PTS Media Group Sdn Bhd itu.
Ainon menekankan mengenai majikan tidak perlu mengeluarkan belanja ‘makan-makan’ untuk pekerja kerana mereka telah dibayar gaji dan lain-lain bayaran yang menjadi hak mereka.
“Dalam syarikat kecil, majikan selalu membelanja pekerjanya makan-makan apabila mereka sudah menjalankan kerja dengan baik.
“Sebagai majikan, kita tidak perlu membelanja staff makan-makan. Kita sudah bayar gaji dan lain-lain bayaran yang menjadi hak mereka. Simpan duit belanja staff makan-makan itu. Kita bukannya kedekut. Kita menguruskan duit bisnes dengan cara yang lebih bijak.
“Kita berikan duit makan-makan itu sebagai duit bonus hujung tahun mereka. Sementara menunggu bonus hujung tahun, duit itu boleh dipusing-pusingkan sebagai modal bisnes. Pekerja dapat duit bonus, kita dapat duit modal,” tulisnya.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tips yang diberikan Ainon itu, yang disifatkan mementingkan diri.
Dr Yazeed Hair Johari berkata:”Saya dapati rezeki semakin bertambah lepas belanja staff makan.
“Staff saya yang tak pernah merasa makan kat hotel pun datang berterima kasih kerana diberi peluang untuk merasai makan di tempat yang mewah. Produktiviti makin bagus.
“Lagipun, resit belanja staff makan boleh digunakan untuk ‘claim tax’ pada company. Hujung tahun tetap dapat bonus dan duit raya sebab selalu mencapai target. Apa yang kita makan tu tak jadi apa , tapi apa yang kita selalu sedekah itu lah makanan kita .
“Kalau ikut matematik memang tambah tolaknya tak boleh menipu , Tapi rezeki ni subjektif . kadang-kadang ianya tak datang dengan wang ringgit , Tapi rezeki tu datang dengan staff yang baik dan jujur,” katanya.
Azila Mohd Kasim berkata:”Maaf puan, tips ni tidak sesuai untuk Muslim. Kita peniaga Islam jangan terlalu kebendaan dan keduniaan.
“Dalam berniaga, kita juga mahukan pahala dan keberkatan rezeki. Sesekali makan bersama-sama staf akan mengeratkan silaturrahim.
“Sedekah makanan adalah sebaik-baik sedekah terutama dengan orang yang hari-hari di samping kita. Duit gaji, elaun dan bonus tu lain,” katanya. – Media Variasi