Oleh Tun Puteh Wanti dan Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Pepatah orang lama-lama “air yang tenang jangan disangka tiada buaya kerana dalam tenang bimbang ada ‘puaka’.
Begitulah juga dengan Perlindungan Tenang Voucher (PTV) untuk perlindungan Keluarga Malaysia yang nampak tenang tetapi malangnya ratusan juta dana rakyat itu dilaporkan ‘ghaib’
Tenang adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Program ini menawarkan perlindungan sosial sebanyak RM50 bagi fasa pertama manakala RM75 bagi fasa kedua kepada kira-kira 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.
Malangnya, hasil 80 aduan rakyat kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pengadu mendakwa telah menyemak kelayakan mereka di laman web Tenang di www.myptv.my dan mendapati baucer mereka telah dituntut (your voucher has been utilized) oleh syarikat insuran tanpa pengetahuan penerima.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pada awalnya PPIM bantu war-warkan mengenai skim bantuan ini kepada rakyat, mengejutkan apabila semakin ramai yang semak status mereka semakin ramai mendapati bantuan ini telah ditebus tanla mereka sedar.
“Setakat ini sudah 2.9 juta baucer telah dituntut atau membabitkan lebih RM200 juta duit telah ditebus.
“Kita tidak tahu sejauh mana duit rakyat sudah dirompak? Jadi orang ramai diminta menyemak di www.myptv.my dan jika sudah ditebus tolong maklumkan portal aduan.ppim.org.my,” katanya pada sidang media PPIM di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak dan Aktivis PPIM, Tunku Shahezreen Tunku Azwil.
PPIM turut membuat laporan polis pada 3 Jun lalu agar siasatan dibuat ke atas individu bertanggungjawab ‘songlap’ duit rakyat ini membabitkan tujuh syarikat insuran atau mungkin lebih.
Antara syarikat insuran yang disebut PPIM adalah Tune, MSIG, MCIS, Alliance, PRU BSN, FWD dan Hong Leong MSIG. Laporan turut dibuat ke MTA dan pihaknya memberi kerjasama baik.
Tawaran baucar itu yang akan tamat pada September tahun ini membolehkan penerima memilih pelbagai pelan perlindungan membabitkan kematian, kemalangan dan kerosakan harta benda.
Contohnya, seorang penerima berusia 35 tahun akan mendapat faedah kematian sehingga RM20,000 untuk produk insurans hayat. Bagi kemalangan diri, penerima akan mendapat faedah kematian akibat kemalangan sehingga RM48,000.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dipetik berkata COVID-19 membangkitkan kepentingan keselamatan sosial untuk golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat.
Memandangkan penyertaan insurans yang rendah dalam kalangan kumpulan B40 dan di dalam semangat #KeluargaMalaysia, subsidi kerajaan untuk perlindungan insurans/takaful adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan jaringan keselamatan sosial ke atas B40.
Persoalannya, adakah kerajaan sedar taktik halus dan terancang ‘merompak dana rakyat’ ini sudah berlaku?
Ikuti laporan kedua isu Dana Tenang Ghaib.