JOHOR BAHRU – Mana-mana penganjur acara di negeri itu menjemput penceramah tanpa tauliah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap bersubahat.

MAINJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bukan sahaja mengambil tindakan terhadap individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah, tetapi juga kepada penganjur acara atau program berkenaan.

Penganjur acara yang menjemput penceramah tanpa tauliah MAINJ adalah dianggap melakukan kesalahan penyubahatan mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaluddin A Hamid.

Kenyataan yang dikeluarkan sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi penegasan terhadap penceramah perlu memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini, dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam kenyataan sama, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Katanya, mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu menyatakan, tauliah yang dituntut oleh MAINJ adalah meliputi kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat dalam negeri ini.

“Selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah daripada MAINJ.

“MAINJ adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya mematuhi hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” katanya.

Oleh itu, tegasnya, masyarakat Islam di negeri ini hendaklah mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di negeri ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata sebarang ceramah oleh seseorang individu yang diadakan di Selangor tidak boleh bersandarkan kerana ‘public figure’ semata-mata, tetapi perlu mempunyai sijil tauliah penceramah yang diiktiraf pihak berkuasa agensi agama negeri.

Katanya, pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Sebelum ini, pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub dan Ustaz Azhar Idrus mengumumkan bahawa semua ceramah masing-masing di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Ia berikutan penceramah berkenaan tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Selang beberapa hari kemudian, seorang bekas pensyarah wanita yang juga bekas calon PAS dikenakan hukuman penjara 12 bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah.
Wanita berkenaan adalah pengasas ajaran ‘Asmaul Husna’, Wan Maseri Wan Mohd.

Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, kategori tauliah punca lambakan pendakwah ‘cap ayam’, ustaz jadian dalam negara.

Ia susulan pendedahan secara bersiri seorang wanita, Norlina A mengenai bekas suaminya yang juga seorang pendakwah memiliki tauliah JAIS, meragui status sijil tauliah kerana mendakwa tiada kelayakan bidang agama, tidak pernah mengikuti pengajian bidang agama secara formal dan isu pematuhan syarat tauliah, baru-baru ini.

Untuk rekod, pendakwah berkenaan, Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet.

Turut dilaporkan, Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus, menggesa pihak JAIS memperjelaskan kekeliruan dalam masyarakat yang beranggapan seseorang individu yang mempunyai tauliah, boleh meneruskan ceramah sedangkan tauliah yang ditetapkan pihak JAIS ada beberapa kategori bagi mengelakkan kekeliruan dan penyelewengan tauliah.