KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tampil memberi respons terhadap isu tuntutan RM59juta membabitkan 41 pelabur yang dikaitkan dengan pelaburan mata wang kripto miliknya, Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub and LUX Galaxies).
Vida mendakwa, dia terkejut kerana baru sahaja mengetahui perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, sudah menyerahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.
“Saya sendiri tak tahu secara terperinci apa tuntutan mereka.
“Jadi lebih baik sekiranya berurusan dengan peguam saya. Biarlah pihak peguam akan jawab.
“Saya tak boleh komen lanjut perkara ini sebab melibatkan undang-undang. Biarlah saya bincang dengan peguam dahulu,” katanya kepada media.
Vida berkata, dia terbuka untuk bersemuka dengan pihak yang terlibat walaupun mereka tidak pernah menghubunginya.
Vida juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang sengaja menjatuhkan perniagaannya serta maruahnya susulan kejadian ini.
“Saya dah lama dalam industri perniagaan dan sosial media. Saya tahu ramai yang tak suka saya.
“Saya tahu saya banyak musuh. Jadi tak mustahil ada orang yang cuba nak jatuhkan saya. Mungkin mereka sakit hati atau cemburu.
“Memanglah terkejut dengan berita itu tapi saya tak terkesan pun. Saya masih bertahan dalam perniagaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, meminta Vida perjelas isu berhubung tuntutan berkenaan kerana kesemua 41 mangsa mahukan keadilan sewajarnya bagi pihak mereka.
Tuntutan itu dibuat oleh peguam, Mohammad Izwan Azmi dan Mazniza Mohd Kamil dari firma Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates mewakili mangsa, pada sidang media, yang diadakan di sini, hari ini.
Mohammad Izwan berkata, pihaknya hari ini terpaksa mengadakan sidang media kerana sudah pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan hak anak guamnya semula, sejak lima tahun lalu namun mendakwa pihak DSV berdiam sehingga kini.