SHAH ALAM – Peguam kepada ibu mangsa bekas pelatih madrasah yang tular sebelum ini, hari ini mendedahkan laporan perubatan yang mengesahkan berlaku kecederaan dan trauma dipercayai akibat didera seperti yang didakwa wanita berkenaan.

Laporan perubatan itu dikeluarkan oleh pihak Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, di lokasi bekas pelatih madrasah berkenaan mendapatkan rawatan sebaik ibunya membawa keluar dari premis.

Ini sekali gus bercanggah dengan kenyataan polis yang mendakwa ibu remaja terbabit membuat laporan palsu berkaitan pada 21 Ogos 2022, malah menafikan kecederaan berlaku.

Peguam Muhammad Izzat Irfan Taib dari Tetuan Hanif & Co, mewakili defendan berkata, bekas pelatih berkenaan tidak pernah dibawa ke Hospital Shah Alam sebagaimana kenyataan polis pada September lalu.

“Sepatutnya tarikh hari ini adalah keputusan representasi bagi mengugurkan pertuduhan laporan palsu.

“Laporan (perubatan) itu didapati konsisten dengan aduan anak guam saya.

“Tetapi malangnya hari ini pihak pendakwaan perlu ambil keterangan daripada pegawai perubatan yang keluarkan laporan,” katanya ketika ditemui media di pekarangan mahkamah di sini.

Turut hadir, Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM, Gulab Jan Fazal Eladi.

Difahamkan, laporan dokumen itu dikeluarkan pada 11 November 2022.

Terdahulu, prosiding hari ini yang sepatutnya berlangsung keputusan representasi bagi mengugurkan pertuduhan laporan palsu bertukar kepada permohonan memanggil doktor perubatan bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan permohonan berkenaan dengan menetapkan tarikh 13 April depan untuk prosiding seterusnya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menafikan dakwaan penderaan ala militan terhadap seorang pelatih di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin di Shah Alam, Selangor, pada 26 September 2022.

Mohd Iqbal menerusi kenyataan medianya berkata, siasatan terhadap pelatih berkenaan di Hospital Shah Alam, Selangor tidak menemui kecederaan pada mangsa.

Susulan daripada siasatan itu, pengadu iaitu ibu kepada bekas pelatih madrasah berkenaan telah dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.