KLANG – MakNgah, MaknJang, MamaYong dan Diana adalah nama timangan diri diberikan anak buah kepada empat beradik perempuan, yang mengusahakan kosmetik ‘viral’, Kekasih by The Melvins.
Setiap satu nama itu diterjemahkan kepada empat produk pencalit bibir yang disertakan dengan pengapit bulu mata (mascara), pembayang warna mata (eyeshadow), pembayang mata (eyeliner) dalam satu set kosmetik Edisi Raya, Kekasih Lebaran 2023 The Melvins.
Kekasih by The Melvins diasaskan oleh pelakon, Siti Nur Syatilla, 32; bersama adik beradiknya, iaitu Siti Nur Syafiqa, 33; Siti Nur Syifa Athirah, 29; dan Siti Nur Syida, 26, pada 2019 dengan tagline hangat dan riuh, ‘Satu KEKASIH cukup ke?’.
Siti Nur Syatila atau nama pentas seninya, Syatilla Melvin, berkata nama timangan berkenaan lebih dekat di hati peminat yang setia dengan Kekasih.
“Nama itu terhasil kerana panggilan kami adik beradik. Jadi, kita sebenarnya mensasarkan pasaran tempatan, kita tak fokus pasaran luar.
“Untuk itu, sebagai hadiah kepada peminat dan pelanggan setia, KEKASIH muncul dengan rangkaian produk edisi Raya Kekasih iaitu kosmetik dan pelembap sempena Aidilfitri akan datang.
“Edisi ini berwajah baharu. Macam kosmetik tu ada empat warna ‘best selling’ yang kami keluarkan semula seperti maskara, pengapit bulu mata, dan pertama kali keluarkan pembayang mata.
“Untuk kedua-dua rangkaian produk ini kami keluarkan edisi terhad antara 50,000 hingga 60,000 unit saja. Nama pun istimewa, jadi kami mahu semua pelanggan kena dapatkan segera.
“Dari segi harga pula, satu pek RM19 paling mahal pun RM69. Dalam erti kata lain, kalau beli semua tak sampai RM100 pun,” katanya.
Terdahulu, berlangsung Majlis Pelancaran Edisi Raya Kekasih Lebaran The Melvins, bersama peminat setianya, yang turut dihadiri artis seperti Nadiyah Shahab, Emma Maembong, pempengaruh Tiktok, di Glass House, di sini.
Sementara itu, keakraban The Melvins dari dulu tidak dapat dinafikan hingga berjaya merealisasikan KEKASIH yang kini sudah mencecah usia empat tahun di pasaran.
Syatilla yang juga mesra disapa Tilla berkata, dia dan adik beradik bersyukur apabila jenama KEKASIH terus mendapat perhatian dan sokongan ramai pihak.
“Kelainan kami apa yang saya boleh tekankan adalah hubungan akrab kami adik beradik. Buat apa nak gaduh-gaduh. Ini yang membuatkan orang tertarik dengan kami dan KEKASIH.
“Macam sekarang kami kerap ‘live’ di TikTok dan orang boleh tengok macam mana mana kami berniaga di situ. Kami bersatu di situ dan itulah kekuatan kami.
“Mungkin produk dan kualiti sama macam orang lain, tapi sebab hubungan itu kami lain sedikit. Tengok saja kami berempat, orang sudah tahu ia KEKASIH.
“Dalam masa sama, tak keterlaluan jika dikatakan KEKASIH juga satu-satunya produk tempatan yang diusahakan bersama oleh empat beradik.
“Kami juga melalui episod hitam ketika musim Covid-19. Dari situ, ia memberikan banyak pengalaman dan mahu jadikan tahun 2023 ini sebagai tahun kebangkitan perniagaan kami untuk terus ke maju hadapan,” katanya.