SHAH ALAM – Keseluruhan akar umbi dan kepimpinan UMNO perlu kembali kepada landasan asal perjuangan bertunjangkan Perlembagaan parti, ketika ini.
Seharusnya Pemilihan UMNO bagi penggal 2023/2026 menjadi ruang kesempatan bagi anggota UMNO benar-benar berjuang untuk parti dan institusi Presiden dalam memulihkan dan mengukuhkan parti dengan kembali menghayati Perlembagaan.
Justeru, calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin merayu kepada yang baharu atau yang sedang berjuang bersama UMNO, supaya merujuk kembali kepada niat dan penghayatan hala tuju sebenar UMNO.
“Bagi saya, dalam setiap perkara yang kita lakukan, pertama adalah niat. Bercakap mengenai keahlian UMNO akhir ini, berlaku ‘pembersihan’, ia berbalik kepada penghayatan hala tuju sebagai ahli UMNO.
“Bila dia naik jadi pemimpin, dia utamakan parti terlebih dahulu. Kita tak sepatutnya jadi orang dia, orang mereka, tapi orang parti dan mesti menghormati struktur institusi Presiden,” katanya.
Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran itu berkata demikian pada program wacana – Pemilihan UMNO : Strategi Kembali Berkuasa? bersama Datuk Razlan Rafii dan Datuk Fathul Bari Mat Jahaya anjuran Sinar, malam tadi.
Shahaniza menambah, kesetiaan adalah pokok pangkal hati bersama UMNO, meskipun bukan mempunyai suara majoriti atau ketika berlaku masalah dalaman parti.
“Kesetiaan adalah perkara paling pokok, kalau tak setia itu yg jadi kisah masalah dalaman parti. Dalam Islam pun kita kena wala’ dengan pemimpin dan keputusan parti.
“Apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, ada yang tak setuju, tapi majoriti sudah buat keputusan.
“Kita kena akur walaupun diri kita tidak setuju. Itu namanya demokrasi, kita kena hormat (keputusan majoriti).
“Kita jangan angkuh, kita jangan kita semua betul, kita kena muhasabah diri kita,” katanya.
Sementara itu, Razlan dan Fathul Bari juga senada bersama Shahaniza berhubung berkorban kepentingan diri demi kepentingan parti.
Masing-masing turut mengingatkan untuk tidak menggunakan jawatan untuk menekan parti, dan untuk kekal bersama parti adalah kembali kepada kesetiaan parti.
Pemilihan UMNO bagi penggal 2023/2026 membabitkan calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bakal menyaksikan seramai 95 pencalonan termasuk Shahaniza, Razlan dan Datuk Fathul Bari.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.
Nama besar yang sah mencalonkan diri pada pemilihan kali ini adalah mereka yang bertaraf menteri dan timbalan menteri.
Ia turut menyaksikan penampilan semula ‘warlord’ atau pemimpin lama UMNO iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.
Sementara itu, Shahaniza mahu wanita dalam UMNO lebih ‘outstanding’ atau menonjol diri kali ini, supaya mampu menjadi penggerak kebangkitan dan mengangkat martabat wanita.
“Kepimpinan wanita tidak kira Wanita atau Puteri UMNO yang terpilih, dan tujuh calon wanita dalam pemilihan MKT akan datang, mereka kena ‘outstanding’.
“Ini supaya mereka boleh dilihat sebagai tokoh wanita yang boleh menjadi ikon dan idola kepada wanita luar sana.
“Dulu mungkin soal tidak ramai hanya beberapa nama sahaja yang gah, tetapi hari ini wanita dah cerdik pandai, malah mungkin keahlian melebihi kaum lelaki,” katanya turut mengulas kedudukan kepimpinan wanita dalam UMNO mutakhir ini.