KUALA LUMPUR – Jurubahasa Mahkamah Majistret Jenayah 3 Kuala Lumpur hari ini menyatakan bahawa hanya barisan peguam Faisal dan Timbalan Pendakwa Raya dibenarkan masuk ke dalam kamar ketika perbincangan dalam kamar ketika prosiding Emilia Hanafi.
Bagaimanapun, peguam pemerhati bagi pihak Emilia tidak dibenarkan masuk.
Larangan itu dikeluarkan pada hari ketiga iaitu hari ini apabila Emilia dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes keganasan rumah tangga membabitkan bekas suami, Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, SM Faisal SM Nasimuddin.
Sebagai peguam pemerhati, Nizam Bashir hanya menguntum senyum dan menganggap ia cuma hak serta budi bicara mahkamah meskipun tidak tahu alasan khusus tidak dibenarkan masuk.
“Saya sebagai peguam pemerhati telah memerhatikan perjalanan prosiding Emilia yang pelbagai kali sejak beberapa bulan lalu.
“Tugas saya sebagai peguam pemerhati adalah memerhati dan tegur jika sesuatu perkara di luar landasan undang-undang atau membantu sekiranya dijemput oleh mahkamah.
“Saya sentiasa cuba menjalankan tugas saya seikhlas mana yang saya boleh,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, dua peguam mewakili SM Faisal, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader memohon mahkamah mengeluarkan dan membatalkan beberapa perenggan daripada keterangan saksi Emilia yang dianggap mereka tidak relevan dengan pendakwaan.
Mengulas perkara itu, Nizam berkata, sebahagian perenggan yang diminta untuk dibuang adalah keterangan berkenaan pengajian Emilia di UK, selain berkait peristiwa lalu, di mana Emilia telah mendakwa wanita itu dipukul bekas suami yang mungkin ia dibatalkan atas dasar prinsip ‘similar fact evidence’ dan ia tidak relevan kepada fakta khusus yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
“Tidak mengapa. Sekiranya mahkamah berpandangan fakta tersebut perlu dibatalkan atas dasar itu, memandangkan ianya tidak relevan, maka ia juga bukan subjudis untuk mana-mana pihak memberi kenyataan bagi yang sama.
“Apabila ia bukan subjudis, maka keterangan ini juga bebas disiarkan di media.
“Jadi terserah kepada Emilia bagaimana cara ia akan didedahkan,” katanya.
Nizam juga menjelaskan, pihak pembelaan mahu hanya perenggan ketika hari kejadian sahaja dibacakan di mahkamah.
Pada prosiding itu, Majistret Nadia Othman membenarkan Emilia untuk menyerahkan pernyataan saksi bertulis untuk dibacakan pada prosiding hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin mengendalikan prosiding berkenaan.
SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding untuk mendengar keterangan Emilia disambung pada 24 Mac nanti.
Terdahulu, dua Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Puan Nur Aishah Ahmad Zakiuddin turut hadir ke mahkamah hari ini.
Selain Nizam, peguam pemerhati lain, Nazri Yahya, Amirul Iman Dollah dan Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co hadir sama.
Turut hadir, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi dan wakil Women’s Aid Organisation (WAO).