KUALA LUMPUR – Pulau Pinang mengambil pendekatan lebih mesra berhubung penganjuran ke rumah ibadat bukan Islam dengan tujuan melawat atau membentuk perpaduan.
Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang tidak melarang mana-mana pihak menganjurkan program dan mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri itu bagi memahami agama lain selagi tidak bercanggah akta dan enakmen sedia ada.
Tidak mengikut jejak pihak berkuasa agama Selangor, katanya, Pulau Pinang sebaliknya mengambil pendekatan mengikut enakmen dan akta sedia ada.
“Kita melarang, perlanggaran mana-mana perkara dalam akta atau enakmen kita, tentang penyebaran agama bukan Islam kepada Islam.
“Namun, untuk perpaduan antara masyarakat, sekiranya ada pihak yang ingin membawa, atau menyediakan, atau mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan tertentu, ia dibenarkan misalnya untuk memahami ibadat orang bukan Islam, tetapi bukan untuk tujuan lain,” katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan mengikut langkah Selangor melarang penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.
Ahmad Zakiyuddin yang juga EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi, dan Pemerkasaan Komuniti negeri, berkata, bagaimanapun mengarahkan penganjur program supaya merujuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terlebih dahulu sebelum menganjurkan program terbabit.
Ini kerana katanya, ia perlu dirancang dan dilaksanakan dalam keadaan terkawal.
“Penganjur perlu rujuk MAINPP dahulu dan melihat semua garis panduan, termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program terbabit.
“Saya pasti perkara ini telah ada permohonan dan panduan diberikan pejabat mufti sebelum ini dan ia boleh dirujuk semula,” katanya.
Katanya, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak terlibat dengan kerja sosial serta perpaduan tidak digalak mengadakan program sedemikian.
Terdahulu, program lawatan ke gereja oleh NGO Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11 dikritik Pemuda UMNO selepas poster dalam Bahasa Melayu dimuat naik di Instagram.
Poster itu kemudiannya diturunkan dari platform media sosial berkenaan, dan penganjur membatalkan program yang dijadualkan esok di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang.
Susulan itu, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun program itu pada dasarnya baik, kerajaan perlu melibatkan pakar agama seperti daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ini disusuli Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mempertahankan program itu, dengan memetik kenyataan pemimpin PAS sebelum ini yang tidak menghalang umat Islam mengunjungi tempat ibadat bukan Islam.
Kenyataan Yeoh itu mencetuskan kemarahan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang berkata pemimpin DAP itu memetik kenyataan daripada pemimpin PAS di luar konteks.
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut mengkritik program itu mengatakan bahan publisiti mengenainya tidak menyatakan ia hanya untuk bukan Islam.
Pada 2010, Harakahdaily pernah melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dari Meru ketika itu, Dr Rani Othman telah melawat Kuil Hindu Bukit Rajah dan bercakap kepada penganut agama itu yang sedang membuat ibadat.
Melalui blognya, Dr Rani menulis, beliau mengunjungi kuil di Bukit Rajah dan mengambil kesempatan untuk memberikan gambaran sebenar tentang tasawwur dan keadilan Islam kepada masyarakat India yang berada di situ.
Harakahdaily turut melaporkan, pada 2018, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata parti itu tidak mempertikai mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.
Beliau berkata Islam tidak mengharamkan penganutnya untuk memasuki rumah ibadat agama lain malah menjadikan Saidina Umar Al-Khattab sebagai contoh yang diketahui pernah memasuki gereja di Palestin.
Katanya lagi, menerima kalungan dengan tujuan meraikan – seperti budaya penganut Hindu yang memakaikan kalung kepada tetamu – juga dibolehkan.