TITIWANGSA – Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa soal melibatkan hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan yang dibuat di setiap peringkat negeri,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama), Senator Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar.
Mohd Nai’m menyifatkan meskipun tiada penyelarasan, ia memberi isyarat jelas bahawa ada hal-hal tertentu yang mana keputusan negeri akan mengatasi keputusan kerajaan Persekutuan.
“Ada perkara berkaitan dengan Islam ini di bawah kuasa negeri, ini saya sudah tekankan banyak kali.
“Benda (hal ehwal agama) ada undang-undang, sebab itu ada berbeza pandangan di situ, seperti yang berlaku. di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu program lawatan ke gereja oleh NGO Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11, yang mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, Mohd Nai’m hadir menyempurnakan perasmian Program TownHall Ikon Nasional Membentuk Siswa Madani peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di Dewan Tun Syed Nasir UKM, di sini.
Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bank Rakyat.
Yang turut hadir, Penasihat Pendidikan & Biasiswa PRIHATIN, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar bersama 850 penuntut University College MAIWP International (UCMI), Kolej Profesional Baitulmal
Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) meraikan program itu.
Turut berlangsung, sesi pemberian bantuan awal pendidikan bantuan tunai, komputer riba dan beg keperluan asas ke menara gading.
Pada program sama, program IKON turut diwujudkan dengan menjemput beberapa ikon negara, pelbagai bidang untuk perkongsian ilmu dan pengalaman seterusnya melahirkan graduan mentaliti kelas pertama.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, semua pihak harus bangkit bersama-sama memanfaatkan pelaksanaan program Townhall Ikon Nasional ini.
Katanya, program sebegini bermanfaat dalam menghimpunkan belia dan tokoh motivasi, dalam melahirkan generasi berilmu dan mencapai matlamat kerajaan untuk masa depan masyarakat dan negara.
“Selain untuk mengangkatnya ke
dalam bentuk dan tahap yang jauh lebih bermakna dan berjaya, saya sentiasa mengharapkan pihak lain akan turut memberi sokongan dan bekerjasama baik dalam membantu memeta pembangunan masa depan pelajar kita,” katanya.