KUALA LUMPUR 14 Jun 2022 – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman hari ini berjaya menumpaskan sindiket Penipuan Business Email Compromise (BES) yang melibatkan sepasang suami isteri di Eco Majestic, Semenyih, Selangor.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, CP Dato Mohd Kamarudin Bin Md Din, sindiket ini telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warganegara United Arab Emirates (UAE) yang menetap di Dubai yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM3,907,308.68. Dalam kes ini, pengadu telah pun berurusan dengan Syarikat Oyak Cimento Fabrikalari A.S melalui e-mail untuk urusan pembelian bahan simen “granulated blast furnace slag” berjumlah 41,000 metrik tan.

Sepanjang perbincangan dilakukan, pihak penjual telah menggunakan alamat e-mel bbenli@oyakcimento.com. Bagaimanapun, pihak pengadu seterusnya telah menerima e-mel daripada alamat yang berlainan iaitu bbenli@oyakciment.com dan seterusnya diarahkan agar satu pembayaran dibuat bagi urusniaga tersebut ke akaun bank milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia. Namun setelah pembayaran dibuat, pengadu tidak menerima apa-apa barangan seperti yang telah dijanjikan.

Pihak Polis telah pun menahan 2 suspek iaitu seorang lelaki warganegara Nigeria yang berumur 43 tahun dan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 41 tahun. Pihak Polis juga turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, sebuah kereta jenis Proton Exora 1.6L, 6 telefon bimbit pelbagai jenama, 2 utas jam tangan, 2 buah komputer riba, 10 unit cop, sejumlah barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan yang dijalankan itu.

Tambah Dato Mohd Kamarudin Bin Md Din lagi, pada tahun 2021 lalu, sejumlah 57 kes penipuan BEC telah pun direkodkan yang melibatkan kerugian berjumlah RM 49,251,621.75. Manakala bagi tempoh Januari hingga 13 Jun 2022 pula, sejumlah 23 kes telah pun direkodkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM 15,131,190.24.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dimana segala kaitan antara sindiket ini dengan lain-lain kes penipuan BEC juga masih dalam siasatan. Pihak Polis juga telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 untuk membekukan wang tunai berjumlah RM1,857,628.08 dari akaun bank milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading.

Untuk makluman semua, Business Email Compromise atau BEC ini merupakan salah satu modus operandi baharu yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk tujuan menipu.

Justeru, CP Dato Mohd Kamarudin Bin Md Din menggesa dan mengingatkan masyarakat khususnya ahli perniagaan yang menggunakan e-mel dalam urusan seharian agar sentiasa berwaspada dan berhati hati dalam menggunakan e-mel sebagai urusan perniagaan. Sila pastikan e-mel yang diterima itu adalah benar-benar daripada pihak yang sepatutnya sebelum melakukan sebarang transaksi urusniaga.

Jika sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran yang meragukan, sila periksa dahulu kesahihan nombor akaun tersebut dengan menghubungi syarikat penjual/pembeli bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan nombor akaun tersebut.

Leave a Reply