KUALA LUMPUR – Prosiding kes keganasan rumah tangga yang membabitkan Emilia Hanafi dan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan konglomerat, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, dilapangkan.

Mahkamah Majistret, di sini, dimaklumkan kedua pihak dalam proses rundingan ke arah keputusan penyelesaian global.

Peguam pemerhati bagi pihak Emilia, Amirul Iman Dollah berkata, tarikh perbicaraan hari ini ditetapkan untuk Emilia menyambung memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan berikutnya, bagi kes jenayah pukul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pada sesi awal prosiding berkenaan, katanya, peguam pemerhati, Nazri Yahya memohon untuk bercakap kepada mahkamah, bagi memaklumkan perkembangan terkini kes anak guamnya yang juga pengadu.

Majistret, Nadia Othman kemudian membenarkan peguam pemerhati itu untuk bercakap.

Amirul berkata, Nazri memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membuat satu rundingan akhir yang serius bagi mendapatkan penyelesaian global untuk kes yang sedang berlangsung termasuk kes syariah.

“Beliau memohon mahkamah melapangkan tarikh pembicaraan pada hari ini bagi memberi ruang kepada pihak-pihak untuk berunding dan keputusannya akan dimaklum pada atau sebelum tarikh bicara akan datang pada 30 Mac depan,” katanya kepada media.

Susulan itu, mahkamah bersetuju melapangkan tarikh bicara pada hari ini, dan menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh mengetahui perkembangan selanjutnya.

Terdahulu, prosiding perbicaraan diterajui oleh Ketua Pendakwaan Unit Keganasan Rumah Tangga iaitu Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

Pihak pembelaan mewakili Orang Kena Tuduh (OKT), Faisal yang hadir berkemeja dan berseluar jeans, diketuai oleh Peguam Kanan, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh dibantu empat orang lagi barisan peguam bela.

Selain Amirul, pihak peguam pemerhati lain adalah Fahmi A Ghani.

Yang turut hadir, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Women Association Organization (WAO).

OKT iaitu Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.