PETALING JAYA 16 Jun 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia dengan kerjasama Crescent Digital Sdn Bhd bangunkan satu aplikasi bernama YAKIN iaitu sebuah platform gaya hidup muslim yang dilihat mampu membantu pengguna dalam mengenal pasti perkhidmatan yang bersifat ‘scam’ dan mengelirukan.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Sri Dr. Adham Baba, aplikasi yang dibangunkan ini akan dapat membantu pengguna untuk lebih berwaspada sebelum menjalankan urusniaga perniagaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Peranan PPIM sebagaimana yang kita tahu adalah memperjuangkan hak-hak pengguna dan pelancaran aplikasi YAKIN ini sangat tepat pada waktunya lebih-lebih dalam era digital ini bagi mendidik Rakyat agar lebih celik Teknologi.
“Perkhidmatan yang ditawarkan PPIM ini akan dapat membantu pengguna seperti Aduan Hal Ehwal Pengguna, sumbangan derma, dan pelbagai maklumat terkini daripada PPIM dengan pantas hanya menggunakan telefon pintar mereka sahaja,” katanya ketika Sidang Media Selepas melancarkan Aplikasi YAKIN disini hari ini.
Aplikasi YAKIN ini turut menyediakan ciri-ciri lain seperti tasbih digital, waktu solat, arah kiblat, doa harian dan kalkulator Zakat.
Tambah Dr. Adham lagi, beliau percaya aplikasi YAKIN ini berpotensi akan digunakan pengguna sebagai platform untuk membantu serta menyokong peniaga dalam mempromosikan perniagaan mereka serta mampu perkasakan pengguna dan Usahawan Muslim dalam memacu Inovasi tempatan bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada ekonomi digital negara.
Beliau berharap agar PPIM pada masa hadapan dapat menjadikan aplikasi YAKIN ini sebagai platform E-Dagang untuk memanfaatkan pengguna.
“Produk dan perkhidmatan pada masa kini semakin mendapat perhatian global bukan sebab pertambahan umat Islam didunia tetapi produk halal ini dikenali sebagai satu penanda aras bagi menjamin keselamatan yang baik selain industri halal ini tidak terhad kepada sektor makanan tetapi juga untuk sektor-sektor yang lain seperti pertanian, kewangan, fesyen, kosmetik, farmasi, perusahaan, perlancongan, dan insuran,” katanya.