BANDAR BARU BANGI – Susulan pendedahan wajah wanita dengan keterangan ‘penyondol’ oleh isteri pelakon dan penyanyi era 1980-an, ND Lala, Fauziah Sarman, hari ini memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, di sini.

Fauziah ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan suaminya bernikah lagi dan pendedahan orang ketiga dalam hidupnya di IGnya, sehingga mendorong dia memfailkan permohonan itu.

Sambil menahan sebak, wanita itu bagaimanapun meminta media merujuk kepada ND Lala sendiri tentang dakwaan itu.

“Tak tahu. Lebih baik tanya pada abang ND sendiri. Dia yang tahu,” katanya dipetik Harian Metro.

“Entahlah, tak boleh nak cakap,” katanya dalam nada sebak dan mengesat air mata.

Terdahulu itu, Fauziah berpakaian jubah berwarna hijau gelap, hadir di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Seksyen 16, di sini, bersama adik perempuannya, Effi bagi urusan berkenaan, namun diminta ke mahkamah untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Effi berkata, bukan mudah untuk kakaknya membuat keputusan permohonan cerai memandangkan usia perkahwinan lama dibina selama 34 tahun dan rasa sayang di hati.

“Saya dan kakak ada di sini hari ini secara tiba-tiba. Kakak saya pun sebenarnya berat nak buat keputusan macam ini. Tapi, itulah hati perempuan kan,” katanya.

Fauziah mengemaskini IGnya semula hari ini, dengan memuat naik foto wanita terbabit dengan keterangan gambar ditulis, ‘Isteri Dato’ ND Lala… Datin Siti Munirah Abd Ghani’.

Hantaran itu sekali gus mengesahkan spekulasi mengenai ND Lala bernikah lagi satu selama ini.

Sebelum ini, bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah itu dikaitkan dengan dakwaan kononnya berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.

Difahamkan, Siti Munirah bukanlah asing dengan keluarga Fauziah dan ND Lala kerana dia adalah rakan sekolah Shila.