KAJANG : Hampir semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) didakwa menawarkan program melahirkan doktor yang menjadi punca lambakan doktor menggangur setiap tahun.

Pengeluaran doktor tanpa kawalan menyebabkan isu ini semakin meruncing sehingga membawa kepada ribuan doktor kontrak mogok apabila mereka gagal mendapat jawatan tetap.

Sebagai pemain industri, Ketua Pegawai Eksekutif Kajang Plaza Medical Centre (KPMC), Datuk Saroni Judi berkata antara punca utama berlaku isu mogok doktor itu, adalah pengeluaran doktor tidak terkawal di peringkat IPT.

“Dahulu hanya beberapa IPT sahaja yang mengeluarkan doktor tetapi sekarang hampir semua IPT tawar doktor.

“Berlaku lambakan graduan doktor sehingga sekarang, mereka tidak mampu diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap.

“Bilangan jawatan tetap dalam kerajaan adalah sangat sedikit dan terhad, malah ditentukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya ketika ditemui media, di sini.

Dakwanya, disebabkan punca itu juga kerajaan tidak mempunyai bajet cukup untuk membiayai lambakan doktor kontrak.

Sebelum ini, Saroni menggesa KKM dan JPA untuk duduk semeja berbincang mengenai penyelesaian isu mogok doktor kontrak yang seolah-olah menjadi polemik bermusim, dan semakin kritikal.

Katanya, KKM dan JPA perlu berdepan isu berkenaan yang tidak berkesudahan kerana ia membabitkan sekuriti (keterjaminan) dan kebajikan pekerja.

Ia susulan sekumpulan doktor kontrak mengadakan piket Mogok Doktor Malaysia tidak berganjak daripada keputusan untuk meneruskan mogok melibatkan 10,000 sehingga 13,000 petugas kesihatan awam, pada 3 hingga 5 April 2023.

Isu berkenaan timbul dipercayai kerana KKM ingin buang elaun kritikal, waktu bekerja sangat panjang, kerja lebih masa tidak boleh tuntut elaun selain cuti rehat yang amat kurang, ‘housemanship’ selama dua tahun di hospital kerajaan tetapi tidak boleh diserap ke jawatan tetap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, susulan isu itu kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian elaun tambahan kepada kakitangan perubatan di klinik kesihatan (KK) dan jabatan kecemasan yang diarah bertugas selepas waktu bekerja ditetapkan.

Katanya, persetujuan itu turut membabitkan perluasan waktu, merangkumi cuti pelepasan mingguan kepada beberapa KK yang dikenal pasti.