KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara bersetuju memohon mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan permohonan pengampunan diraja Bekas Presidennya, Datuk Sri Najib Razak.
Menurut Setiausaha Agung UMNO Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden UMNO, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi hari ini berkata akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka dengan beserta Memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bagi membela bekas Presiden dan Bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mengadakan mesyuarat bulanannya hari ini telah membincangkan mengenai Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC International Sdn Bhd.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif Dato’ Abdul Rahman bin Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Datuk Seri Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
“Setelah diperincikan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan Ke Bawah Duli Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Sri Najib Razak sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, katanya
Dalam pada itu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga menetapkan tarikh Perhimpunan Agong UMNO akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun 2023 ini.