Bermula 1 April 2022 kerajaan mengumumkan negara memasuki ke Fasa Peralihan Endemik COVID-19 dimana pelbagai sektor ekonomi, sosial dan aktiviti perniagaan kembali akan beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia.

Menerusi pengumuman peralihan ke Fasa Endemik COVID-19 ini, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengarahkan agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan terutamanya yang melibatkan premis hiburan dan aktiviti sosial di ibu kota Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian dan agensi DBKL telah merangka pelbagai tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang yang digunapakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan kerjasama agensi sahabat
penguatkuasaan yang lain.

Pada Ahad, 26 Jun 2022 DBKL dengan kerjasama agensi sahabat seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah melaksanakan ‘Operasi Bersepadu’ di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertujuan untuk membanteras kegiatan haram melibatkan premis yang menjalankan aktiviti rumah urut, pelacuran yang melanggar syarat lesen serta lain-lain kesalahan dibawah agensi sahabat ( salah guna visa pelawat / kesalahan syariah ).

Tindakan operasi bersepadu ini disertai sendiri oleh YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Haji Anwar Bin Mohd. Zain.

Dalam operasi bersepadu ini, sebanyak 4 buah premis telah dikenakan tindakan kompaun dan tutup serta-merta di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen serta aktiviti tidak bermoral (seks). Selain itu, turut di sita 38 unit pelbagai peralatan berupa kondom, cecair pelincir
serta peralatan CCTV. Kesemua premis ini ditutup (sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Seramai 16 individu warga asing telah ditahan terdiri daripada warganegara Thailand (8 orang), warganegara Indonesia (7 orang) dan warganegara Vietnam (1 orang) yang bertindak sebagai tukang urut dan pekerja seks telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan
selanjutnya dibawah Akta Imigresen 1959/63.

Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menahan seramai 5 individu rakyat tempatan beragama Islam (pelanggan) bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.


Kementerian memandang serius keatas pelanggaran syarat lesen yang dilakukan oleh pemilik premis dan aktiviti perniagaan. Kementerian turut mengingatkan kepada pemegang-pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah isu pelanggaran syarat lesen kerana sebarang pelanggaran syarat lesen akan dibawa ke jawatankuasa bagi pembatalan lesen perniagaan.

Kementerian akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini secara berterusan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi sahabat.

Leave a Reply