PETALING JAYA, 30 Mei 2023 – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Penchala, Petaling Jaya, Selangor hari ini.
DSK Sungai Penchala sepanjang 700m ini dibina sepanjang Sungai Penchala melibatkan kos sebanyak RM400 ribu dan telah siap sepenuhnya pada Disember 2022. Skop pembinaan melibatkan pembinaan walkway, struktur pengukuhan tebing sungai dan handrail.
Dengan adanya DSK Sungai Penchala ini, penduduk sekitar terutamanya dari Seksyen 14 dan 19, Petaling Jaya, Selangor boleh melakukan aktiviti riadah seperti aktiviti bersiar-siar bersama keluarga, jogging dan dalam masa yang sama dapat memantau aktiviti di persekitaran sungai. Pelaksanaan DSK juga akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.
Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut juga dapat menghalang pihak-pihak tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah. Selain itu, DSK juga berpotensi untuk menyumbang kepada aktiviti eko-pelancongan setempat.
NRECC menyasarkan pembinaan DSK Sungai Penchala sepanjang 2.5km bagi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan punca penyelesaian berasaskan alam semulajadi (nature-based solution).
Bagi memastikan sasaran ini, NRECC dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan-kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.