KUALA LUMPUR – Tidak mengenal erti penat, rapper tempatan yang semakin meningkat naik, Yonnyboii kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul ‘Flash & Dash’.

Lagu ciptaan Yonnyboii serta SonaOne, Wolfy, GUCCIMITH ini mempunyai kelainan dari segi penyampaian dan gayanya.

Istimewa kali ini juga, Yonnyboii berkolaborasi bersama bintang rap dari Bumi Kenyalang, Sarawak iaitu GUCCIMITH untuk menghidupkan lagi karya lagu berkenaan.

“Saya rasa lagu ini lebih segar serta menyeronokkan. Belum ada lagu dengan gaya seperti ini. Malah secara peribadi ia sesuatu yang saya sendiri tidak pernah buat. Ia boleh dianggap eksperimental untuk diri saya yang belum pernah mencuba gaya sebegini,” katanya.

Yonnyboii berkata, tajuk lagu ini, Flash & Dash sememangnya terinspirasi dari sini animasi Anime Jepun yang pernah popular pada tahun 90-an.

“Pesan yang kerap dipaparkan dalam siri kartun terbabit adalah bagaimana watak-watak utamanya sentiasa ingin berusaha menjadi juara dan pemenang. Jadi itulah yang ingin saya kongsikan.

“Kita semua ingin jadi yang terbaik namun masa itu suntuk. Kita tidak mungkin dapat mengejar waktu. Jadi berusahalah secepatnya jika mahu berjaya,” katanya lagi.

Yonnyboii berkata, selepas mengambil keputusan untuk menyiapkan projek ini, dia baru sedar yang sebenarnya dia memang mahu menampilkan rakan seindustri iaitu GUCCIMITH.

“Walaupun dia berada di Kuching, kebetulan semasa hendak merakam lagu ini dia di Kuala Lumpur. Jadi dia terus datang ke rumah untuk proses rakaman dan tidak sampai tiga jam, lagu ini siap dirakam,” katanya.

Lagu ini juga didatangkan dengan sebuah klip video yang menarik.

“Ini kali pertama saya membuat penggambaran video dengan gerakan kereta ‘drift’ yang begitu laju.

”Sangat menyeronokkan. Malah, semua yang terbabit memberi kerjasama yang baik termasuk rakan saya GUCCIMITH sendiri.

“Saya harap semua orang akan menyukai lagu ini dan dapat menangkap pesan yang ingin cuba saya sampaikan. Sesiapa yang pernah menonton siri Anime Flash & Dash pasti tahu apa yang saya maksudkan dan mengerti perasaannya.

“Semoga dapat memberi inspirasi pada pendengar,” katanya.
Single Flash & Dash boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 26 Mei yang lalu.

Manakala, muzik lagu Flash & Dash telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada tarikh yang sama.

By Cynthia

Leave a Reply