KUALA LUMPUR 28 Jun 2022 – Anak Syarikat Milik Penuh MARA Corporation Sdn Bhd iaitu Pelaburan MARA Berhad hari ini melancarkan dana Unit Amanah baharu dikenali PMB Shariah Greater China Equity Fund serta menyambut ulangtahun ke 55 di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Mahdzir Khalid.
Menurut Mahdzir, Pelaburan MARA Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Amanah Saham MARA Berhad ditubuhkan bagi mewujudkan kesedaran dan mendidik golongan Bumiputera untuk terlibat dalam pelaburan dan menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan nasib Bumiputera di tanah air sendiri. Ini membuktikan kesungguhan pihak kerajaan untuk terus membantu Bumiputera terutamanya luar bandar meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat tersenarai di Pasaran Saham Malaysia dan Singapura sejak ianya ditubuhkan.
“Kita harus tumpang bangga kerana penglibatan masyarakat Bumiputera luar bandar ke dalam pelaburan saham amanah yang bermula dengan dana yang diuruskan oleh Amanah Saham MARA Berhad pada 1968.
Majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran dana baharu PMB Investment Berhad iaitu PMB Shariah Greater China Equity Fund yang mensasarkan Bursa Wilayah China.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim, “Wilayah Tanah Besar China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang mendapatkan Wilayah ini dan kami berpendapat Wilayah China merupakan pasaran yang sangat besar dan berpotensi untuk berkembang pesat ekoran pembukaan semula ekonomi selepas wabak Covid-19 menular dan pasa masa kini, saham-saham syarikat yang tersenarai di papan Bursa tersebut masih berada di paras yang menarik.
“Ini menjadi faktor utama menarik minat syarikat untuk melancarkan dana seumpama ini. Tambahan pula, pertumbuhan pasaran lain semakin dingin, ekonomi China masih antara 10 ekonomi dunia yang berkembang pesat,” katanya ketika sidang media sempena Sambutan Ulang tahun Pelaburan MARA Berhad Ke-55 dan Majlis Pelancaran Dana Unit Amanah PMB Investment Berhad di ibu negara hari ini.
Turut hadir bersama, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengerusi MARA Corporation, Senator Datuk Othman Aziz dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Mahdzir berkata, pelancaran dana unit amanah itu menerusi pelbagai portfolio pelaburan syariah yang tersenarai di Dow Jones Islamic Market (DJIM) Greater China Index yang meliputi pasaran wilayah Tanah Besar China, Hong Kong, Taiwan dan Macau.
Strategi pelaburan PSGCEF ialah, dengan melabur di antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China dan tidak hanya terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan yang ada, PMB Investment akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang.”
Tambah Mahdzir, dana tersebut yang ditawarkan pada harga 50 sen seunit, bermula 26 Mei lalu dengan pelaburan minimum sebanyak RM1,000 untuk pelabur runcit dan RM10,000 untuk pelabur institusi.
Terdahulu, pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelantikan UOB Kay Hian sebagai Penasihat Institusi Saham Amanah untuk memasarkan produk-produk amanah PMB Investment serta satu lagi Perjanjian yang turut ditandatangani dengan syarikat Evergreen Corporate Sdn Bhd (ECSB).
Untuk rekod, PMB Investment mempunyai 19 dana unit amanah syariah yang dibuka untuk dilanggan oleh orang ramai.
PMB Investment kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM1.5 bilion setakat Mei 2022.
ECSB merupakan sebuah syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai untuk menjadi diesel gred industri beroperasi di Teluk Gong, Selangor dengan kapasiti pengeluaran 60,000 liter diesel sehari.
ECSB juga dalam usaha untuk membina kilang tambahan di tanah miliknya di Simpang Pulai, Perak, di mana ianya mampu memproses 1 juta tan metrik tayar sehari dan menghasilkan 480 ribu liter diesel sehari.
Mahdzir berkata, beliau yakin ECSB ini amat berpotensi untuk berkembang maju.
Menerusi inovasi teknologi hijau kitar semula, operasi ECSB diyakini berpotensi berkembang maju kerana terbukti tidak mencemarkan alam sekitar dan menggunakan BAT (Best Available Technology) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam pengawalan pencemaran udara.
“Melalui perjanjian ini kita berharap Pelaburan MARA dapat membantu pihak Kerajaan untuk mengurangkan subsidi diesel dengan menghasilkan diesel alternatif tanpa subsidi selain meletakkan sasaran untuk ECSB disenaraikan di papan Bursa Malaysia menjelang 2025 kelak.” tambah Mahdzir lagi.
Dalam pada itu, Pelaburan MARA yang sudah mencapai usia lebih 5 dekad, diharap dapat meneruskan agenda pemerkasaan Bumiputera dan membantu golongan berkenaan khususnya ketika dunia berhadapan dengan pelbagai krisis yang menggugat ekonomi dan peningkatan inflasi.