KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 – ARMADA menentang sebarang penarikan semula subsidi pukal secara tergesa gesa tanpa kajian menyeluruh terhadap kelangsungan golongan yang terjejas, apatah lagi ketika negara sedang dalam proses pemulihan pasca wabak Covid 19.
Menurut Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, langkah ini penting bagi memastikan penarikan subsidi tidak dibuat secara tergesa-gesa yang akan membebankan golongan B40 dan M40.
Untuk itu, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan agar kerajaan meminda Akta Kawalan Harga dan Pencatutan (AKHAP) 2011 di Parlimen dengan segera bagi memberikan taring dan kuku kepada penguatkuasa bagi memastikan harga bekalan tidak akan melambung tinggi.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal lagi, “Saya gesa pihak kerajaan untuk membentang Rang Undang-Undang pindaan kepada Akta pencatutan agar pihak penguatkuasa KPDNHEP segera turun ambil tindakan terhadap mana-mana peniaga, pembekal, pengeluar makanan yang melakukan amalan ‘profitery’ ini.
“Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu medan yang terbaik untuk membincangkan perkara ini. Jika tidak dibentangkan, Maka ia tidak boleh nak laksanakan. Kita tidak mahu harga melambung tinggi.
“Kita perlukan mata dan telinga jika ada mana-mana pihak yang melakukan pencatutan harga, sila tampil ke hadapan untuk tindakan diambil dengan segera, katanya ketika Sidang Media di Pejabat Perikatan Nasional disini hari ini.
Dalam pada itu, ARMADA turut menggesa kerajaan agar menghapuskan karenah birokrasi (red tape) dalam mengagihkan subsidi dan bantuan kepada petani, penternak dan nelayan yang menghasilkan makanan negara, termasuklah membuka kaunter bergerak di kawasan tumpuan untuk menjadi hub pengeluaran makanan.
Mengenai cadangan pemotongan gaji Menteri dan Timbalan Menteri, “Saya secara peribadi bersetuju jika kerajaan ingin memotong gaji Menteri dan Timbalan Menteri, Pengerusi GLC, Badan Berkanun untuk berkongsi keperitan Rakyat silakan, demi rakyat kita sanggup,” katanya.
Selain potongan gaji, adakah peruntukan kementerian-kementerian wajar juga dipotong untuk bersama kesusahan Rakyat, secara peribadinya amat bersetuju dengan mana-mana perkara yang tidak beri kepentingan umum yang tidak memberi kesan jika tidak dilakukan, kerajaan wajar pertimbangkan untuk disalurkan ke perkara yang lebih penting khususnya untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat berdepan cabaran inflasi yang cukup getir ini. Armada menyokong penuh sebarang usaha untuk kurangkan kos dalam membendung inflasi.
Bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ARMADA turut dikerahkan di setiap kawasan Parlimen agar menggerakkan Skuad Prihatin Rakyat bagi memantau harga dan mengumpul segala aduan rakyat agar dapat disalurkan kepada pegawai KPDNHEP setempat dan diselesaikan dengan tuntas.
Kawalan kos sara hidup, kos untuk menjalankan perniagaan dan kestabilan bekalan rentas seluruh rantaian nilai adalah penting untuk menjamin trajektori pemulihan ekonomi pasca Covid-19 serta seterusnya menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
Usaha-usaha di atas adalah antara iltizam ARMADA demi mengangkat aspirasi ekonomi bermaruah (dignified economy) untuk setiap rakyat Malaysia. Ini juga sejajar dengan hasrat kepimpinan BERSATU dan Perikatan Nasional untuk memacu gagasan besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.