editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Mengisi slot terbaharu Tiara, drama bersiri Hijrah Jannah gandingan Remy Ishak dan Daniella Sya bakal menemui penonton bermula 5 Jun ini pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Mengisahkan pergolakan rumah tangga sepasang suami isteri, Hijrah Jannah memaparkan kisah seorang wanita, Jannah/ Janet yang memeluk Islam demi untuk bersama kekasihnya, Syawal Fitri.

Namun pengorbanannya turut menyaksikan diri Jannah disisih oleh keluarganya sendiri, malah penerimaan ibu mertuanya bagaikan racun menyusuk perhubungan suami isteri antara Syawal dan Jannah.

Walaupun mengharungi pelbagai dugaan termasuk dimadukan, Jannah tetap mendalami ilmu agama demi menjadi seorang isteri yang baik.

Dalam usaha mencari ilmu, Jannah bertemu dengan Zakri, salah seorang fasilitator agama yang mula jatuh cinta dengannya.

Drama 40 episod ini memaparkan polemik perkahwinan serta tugas dan tanggungjawab lelaki sebagai suami di dalam poligami.

Drama kali ini turut memberi penekanan terhadap penerimaan golongan mualaf di kalangan keluarga dan masyarakat.

Remy Ishak turut membuat penampilan pertamanya di slot Tiara sebagai Syawal, hero drama rantaian ini.

Pertaruhan kali ini turut melihat Puteri Sarah Liyana memegang watak antagonis, Munirah iaitu isteri kedua Syawal manakala pelakon jelita, Daniella Sya memegang watak utama, Jannah/Janet.

Selaku penerbit, Jason berkata, drama ini mungkin kisah biasa yang pernah berlaku dalam kehidupan namun tidak semua orang mengetahui perjalanan hidup yang dilalui itu berakhir bagaimana.

“Kisah mualaf berkahwin dengan lelaki Islam selalu kita dengar, ada yang okey ada juga sebaliknya. Banyak perkara perlu saya ambil tahu bagi memastikan jalan cerita betul seperti di luar sana.

“Budaya Cina juga harus betul dan kita ada panel yang memberi pandangan apa yang sesuai dan tidak untuk dilakukannya,” katanya.

Memegang watak sebagai suami berpoligami, Remy berkata, agak mencabar kerana dia perlu memastikan cara pembawakan itu betul supaya tidak timbul isu poligami tidak baik.

“Saya perlu pandai ‘tackle’ penonton supaya tidak ada yang dipersalahkan dalam cerita ini.

“Apa yang berlaku bukan semua orang mahukan jadi saya harus bijak bermain dengan watak yang diberikan,” katanya.

Pertama kali memegang watak antagonis dan isteri kedua, Puteri Sarah mengganggap ia adalah cabaran baharu dalam karier lakonannya.

“Ini adalah pertama kali saya membawakan watak sebegini, ketika ditawarkan produksi tanya bolehkah saya membawakan watak seperti ini.

“Bagi saya tidak ada masalah satu cabaran untuk saya memang saya teringin hendak cuba. Saya cuba berikan yang terbaik dan syukur pengarah dan pelakon semua memberikan sokongan terhadap saya.

“Saya juga bersedia dikecam apabila drama ini ditayangkan nanti,” katanya.

Memegang watak sebagai wanita Mualaf, Daniella menjadikan pengalaman kawan-kawan sekeliling sebagai panduan untuknya menghidupkan watak dalam cerita ini.

“Saya berkawan dengan rmai orang Melayu dan ada juga bertanya dengan mereka mengenai situasi seperti watak saya. Apa yang dikongsikan memang ada sedikit yang berlaku mungkin kesalahan yang dilakukan secara tidak sedar.

“Melakonkan watak ini juga mendatangkan trauma buat saya kerana terasa apa yang berlaku ini seperti tidak normal tetapi saya tahu mungkin ada berlaku di luar sana,” katanya.

Selain Remy, Daniella dan Puteri Sarah drama ini turut dilakonkan oleh Khalidah Atlibah, Daniel Fong, Ezaidi Aziz, Hanna Halim, Riz Amin, Erynn Abdullah, Rahim Jailani, Angeline Tan dan Kenji Sawahi.

By Cynthia

Leave a Reply