KUALA LUMPUR, 30 Jun 2022 – Setiap tahun MARA menyambut Hari Pendidik bagi mengiktiraf golongan Pendidik Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang menjadi tunjang kepada pembangunan masa depan Institusi MARA serta mengangkat martabat dan taraf Pendidik IPMA dalam memupuk perasaan perpaduan ikhtisas di kalangan warga MARA dan Keluarga Malaysia.
Sambutan Hari Pendidik MARA 2022 yang bertemakan Pendidik Tunjang Generasi Berilmu ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Mahdzir Khalid.
Menurut Mahdzir, MARA menawarkan peluang kepada 4,336 warga Pendidiknya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seperti Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran serta Diploma Pendidikan.
Untuk itu, MARA memperuntukkan sebanyak RM1. 5 juta bagi meningkatkan lagi Latihan dan Pembangunan Kompetensi Warga Pendidik MARA bagi memastikan mutu dan kualiti pendidikan setaraf negara maju.
“Inisiatif seperti ini amat penting bagi memperkasakan lagi ilmu dan kemahiran warga pendidik MARA untuk menjadi setaraf dengan pendidik dari luar negara khususnya dari Oxford dan Havard University, katanya ketika Sidang Media selepas Majlis Sambutan Hari Pendidik MARA 2022 disini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Pembangunan) Encik Mas Rizal Mohd Hilmi serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Tambah Mahdzir, MARA juga sentiasa komited dan peka untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur di seluruh Pusat Pendidikan MARA bagi memastikan pelajar-pelajar IPMA supaya dapat menjalankan aktiviti pelajaran dalam keadaan kondusif.
“Fasiliti pusat pendidikan yang lengkap amat penting bagi menjamin keselesaan kepada 110,210 orang pelajar IPMA di seluruh negara untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efisien dan sistematik.
“Kita juga memberi penekanan tinggi terhadap mobiliti pelajar-pelajar MARA ke peringkat antarabangsa agar tidak terhenti atau ditangguhkan menerusi program tajaan pelajaran seramai 1,500 pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang.”
Tema kali ini dipilih bertepatan dengan hasrat pihak kerajaan untuk mewujudkan golongan pendidik membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.
“Saya yakin tema yang dipilih ini akan mencetuskan semangat baharu seterusnya menjadi azimat kepada para pendidik MARA dalam usaha membentuk modal insan sempurna”, ujar Mahdzir.
Terdahulu, Mahdzir turut menyampaikan anugerah kepada pendidik yang terpilih serta merakamkan ucapan penghargaan kepada 10,485 warga pendidik MARA di seluruh negara.