6 Julai 2022, Putrajaya – Kementerian Perpaduan Negara melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memperuntukkan geran sebanyak RM13,068,862.00 bagi membiayai pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40 berumur antara 4 hingga 6 tahun bagi meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia.

Geran yang diperuntukkan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,164 kanak-kanak dan ibu bapa masyarakat India B40 untuk membiayai yuran pendidikan sesi persekolahan bagi tahun 2022/2023 mulai Mac 2022 sehingga Februari 2023 yang akan disalurkan melalui lima (5) organisasi melibatkan 214 prasekolah di lapan (8) negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bantuan persekolahan berkenaan juga termasuk pemberian buku dan lembaran kerja, starter kit (pakaian seragam dan alat tulis) serta subsidi bagi penyediaan sarapan pagi untuk kanak-kanak B40 berkenaan.

Menurut YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara, bantuan yang diberikan ini adalah bertujuan memastikan kanak-kanak India B40 tidak akan tercicir mendapatkan peluang mengikuti pendidikan pra sekolah sebagai persediaan untuk memasuki pendidikan formal darjah satu akan datang.

Pada masa yang sama juga, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Tambah YB Menteri Perpaduan Negara, inisiatif ini jugak adalah selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang merangkumi tiga (3) teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

“Saya berharap pihak pengurusan organisasi dan pengurusan pra sekolah akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kanak-kanak India B40 ini mendapat pendidikan pra sekolah yang terbaik”, kata YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique ketika ditemui wartawan disini hari ini.

Justeru, KPN melalui MITRA akan terus komited dalam usaha membantu masyarakat India B40 serta pembangunan modal insan.

Leave a Reply