KUALA LUMPUR – Pempengaruh (Influencer) media sosial yang terkenal dengan ulasan produk berjenama, imej ‘cosplay’ dan aksi latihan Muay Thai, Najla Nordin mengambil keputusan untuk memuat naik kandungan (content) lebih berfaedah tentang pendedahan seni pertahanan diri, bermula pertengahan bulan ini.
Atas faktor kebimbangannya melihat banyak isu wanita menjadi mangsa penganiayaan, penderaan, ragut dan rogol, Najla atau nama sebenarnya Fatin Najla Nordin membuat keputusan bagi memberi lebih banyak kesedaran tentang ilmu bela diri dalam kalangan golongan itu.
Fatin Najla yang mempunyai kira-kira 158,000 pengikut di Tiktok dan lebih 102,000 pengikut di Instagram, dalam hantaran videonya berkata sudah tiba masanya dia beralih kandungan kepada yang lebih berfaedah.
“Kebelakangan ini, Fatin banyak tengok kes wanita menjadi mangsa dera, ragut, rogol, tak payah cakap wanita, lelaki pun sama.
“Kalau kes perempuan memang banyak sangat, Fatin tengok kena pukul dengan orang terdekat macam suami, boyfriend (teman lelaki).
“Jadi, pertengahan bulan 7, Fatin akan beralih content ‘self defense’ sebab ini untuk awareness supaya kita sentiasa berjaga-jaga. Semoga perkongsian saya nanti memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Wanita itu turut menyambung video di Instastories mendedahkan punca dia mempelajari seni pertahanan diri Muay Thai adalah kerana melihat sendiri keganasan rumah tangga.
“Pengalaman membesar melihat keganasan rumah tangga, jadi punca Fatin belajar seni pertahanan diri, sekurang-kurangnya ada ilmu,” katanya sambil menahan sebak.
Dia turut menyelitkan tulisan ‘Saya belajar Muay Thai bukan untuk jadi fighter tapi untuk protect myself daripada haiwan bertopengkan manusia’.
“Manusia ini, lebih menakutkan sebenarnya, ada yang nampak baik…,” katanya.
Katanya, sejak tamat persekolahan menengah, dia sentiasa membawa alat pelindung diri termasuk ‘pepper spray’ ke mana sahaja sebagai langkah awal perlindungan kerana tidak mempercayai orang lain sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, content untuk ulasan produk masih lagi berlangsung berikutan itu antara punca pendapatan dirinya.