KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seorang individu dipercayai penyokong partinya untuk memohon maaf berhubung ciapan Twitter yang dimuatnaik mengenai keadaan kesihatan terkini Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Perdana Menteri menerusi hantaran Twitternya itu, turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan biadab individu berkenaan.
“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” ciapnya.
Pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ melalui satu ciapan, meminta agar nyawa Presiden PAS itu diambil supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Pengguna Twitter itu juga menulis perkara sama terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.
Perkara itu dimaklumkan anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut meminta orang ramai berdoa dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan.
Sementara itu, anak kepada penghibur tersohor negara, Datuk Jamal Abdillah menerima serangan pelbagai pihak gara-gara nama Zaki Yamani.
Penyanyi berusia 17 tahun yang menerima tempias kerana nama pentasnya sama dengan individu yang dikaitkan ciapan Twitter itu bagaimanapun tidak berdiam diri, dan menjelaskan di Instagramnya, tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan.
Empunya badan bernama Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah itu sebaliknya memetik nama Pakcik Zaki Yamani.
“Kepada Pakcik Zaki Yamani, awak dah buat saya kena marah dan huru-harakan nama saya hari ini.
“Siapa nak jawab bila ayah saya dah sound (marah) saya ni,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, dia turut berkongsi tangkap layar mesej daripada bapanya yang mengingatkan agar tidak mencampuri urusan politik.
Bahkan Zaki turut menjelaskan kepada Anwar bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan.