KUALA LUMPUR, 3 Jul – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi berkenaan termasuk pemansuhan 80 peratus hutang peneroka sebanyak RM7.9 bilion.
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menyifatkan keputusan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan kerajaan itu suatu langkah tepat dalam memastikan nasib peneroka yang terumbang-ambing berkenaan isu hutang mereka akhirnya dapat menemui jalan penyelesaian.
“Saya mewakili KEADILAN Wilayah Persekutuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan nasib para peneroka dalam isu hutang lapuk yang tidak dapat diselesaikan pentadbiran sebelum ini.
“Walaupun tidak dapat diselesaikan 100 peratus namun ia satu perkembangan positif memandangkan Felda sedang dalam usaha memulihkan keyakinan awam terhadap kemampuannya membantu peneroka yang selama ini kebajikan dan masa depan mereka diabaikan,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, perjanjian itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Jelas kenyataan itu, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang agensi itu bersama institusi kewangan berjumlah RM7.9 bilion.
Jaminan Kerajaan itu juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkannya memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.
Tambah Kementerian Kewangan, Jaminan Kerajaan ini juga dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan.
Ia bagi memastikan agensi itu terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda.
Kerajaan juga menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun kerajaan dengan melantik Amanah Raya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat.
Kerajaan juga telah bersetuju memberi Jaminan Kerajaan kepada Felda pada tahun 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi Felda yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun.
Oleh itu, berita ini adalah berita baik untuk peneroka diambang Hari FELDA yang jatuh pada 7hb Julai nanti.