editor@aatvnews.com

PETALING JAYA – Pertama kali berada di pentas konsert, IFix Studio dan Mesaton Ventures membawakan Konsert Muzika Lawak Nusantara yang menggabungkan pelawak dari Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas.

Bakal berlangsung pada 19 Ogos depan, konsert akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Konsert yang akan bermula jam 8 hingga 11 malam itu bakal menyaksikan persembahan hebat dan mencuit hati daripada pelawak-pelawak kedua-dua negara.

Mewakili pelawak Malaysia ialah kumpulan Zero yang menggabungkan trio adik beradik, Sharif, Atu dan Melati, Bocey yang menggabungkan Achey dan Fad serta pelawak dari Indonesia iaitu Rina Nose, Sule dan Aziz Gagap.

Pengarah Mesaton Ventures, Azroy berkata, objektif utama penganjuran Konsert Muzika Lawak Nusantara adalah untuk memberi penghargaan kepada pelawak di samping mengukuhkan lagi industri komedi antara kedua-dua negara.

“Objektif utamanya adalah untuk menghargai pelawak-pelawak dari Malaysia dan Indonesia di mana, pelawak menjadi pemain industri yang dilihat hanya mengisi slot-slot kecil di kaca TV.

“Tujuan utama penganjuran Konsert Muzika Lawak Nusantara adalah bagi mengetengahkan gabungan pelawak ini, sekaligus ingin menjadikan acara ini sebagai satu fenomena untuk industri komedi di antara kedua-dua negara.

“Secara tidak langsung, gabungan ini juga akan menyatu serta mengukuhkan lagi ikatan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah acara, Khairul Afizi berkata, pemilihan pelawak-pelawak yang akan terbabit dalam acara ini adalah berdasarkan prestasi mereka di arena masing-masing.

“Pemilihan artis dan pelawak-pelawak ini dibuat selepas melalui sesi perbincangan dan pemilihan. Tiga nama besar pelawak Indonesia dipilih memandangkan mereka mempunyai peminat mereka sendiri di Malaysia.

“Pemilihan Bocey dan Zero adalah kerana prestasi mereka yang pernah menjuarai program TV dan ini juga menjadi gabungan semula mereka di pentas yang berskala mega.

“Secara tidak langsung, ini menampakkan konsep nusantara yang ingin diketengahkan,” katanya.

IFix turut mengumumkan pemberian Iphone secara percuma untuk peminat yang bertuah apabila hadir menonton Konsert Muzika Lawak Nusantara nanti.

Harga tiket untuk KONSERT MUZIKA LAWAK NUSANTARA bermula dari RM368 (VVIP), RM328 (VIP), RM188 (Red Zone), RM188 (Yellow Zone), RM188 (Purple Zone) dan RM128 (Blue Zone).

By Cynthia

Leave a Reply