Simpang Pertang, 19 Julai 2023 – Program Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Batu 17 Parlimen Jelebu 2023 telah berlangsung dengan jayanya di Balai Raya Kampung Batu 17, Simpang Pertang, Jelebu petang tadi.

Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara wakil rakyat dengan komuniti Orang Asli di kawasan tersebut.

Seramai 61 ketua isi rumah telah menerima sumbangan keperluan asas yang disampaikan oleh Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Ahli Parlimen Jelebu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Melalui inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, masyarakat Orang Asli di seluruh kawasan parlimen berkenaan telah dan akan menerima sumbangan berbentuk keperluan asas, tidak termasuk sumbangan peruntukan kesejahteraan rakyat seperti pembangunan infrastruktur dan modal insan.

Ini merupakan salah satu usaha yang telah dijanjikan Jalaluddin melalui ‘Tekad Barisan Nasional Jelebu’ semasa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Sumbangan ini merupakan langkah awal dalam memastikan kestabilan bekalan makanan asas kepada keluarga Orang Asli yang memerlukan, serta memelihara hak dan kebajikan masyarakat berkenaan terus terpelihara.

Dalam ucapan beliau, Jalaluddin memberi iltizam untuk terus menjalinkan kerjasama yang erat dan menjaga kebajikan komuniti Orang Asli dalam parlimen tersebut serta di peringkat negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia berharap agar program sebegini dapat memberi kesan positif dalam memperbaiki taraf hidup dan membangunkan komuniti Orang Asli di Parlimen Jelebu.

Beliau juga berazam untuk terus menyokong dan melibatkan diri dalam inisiatif untuk mempromosikan pembangunan inklusif dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia khususnya di Parlimen Jelebu.

Turut hadir, Tuan Noor Azmi Bin Yusof, Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Puan Noor Marry Binti Abdul Karim, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu, saudara Norazizan Bin Ramly, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelebu, Puan Siti Nor Asyikin Binti Ramlan, Ketua Puteri UMNO Bahagian Jelebu, Tok Batin Awang Bin Lijon, Ketua Batin Jelebu, Tok Batin Ramli, Tok Batin Kampung Orang Asli Batu 17 dan Puan Marini Wong Wee Kong, Ketua Kampung Orang Asli Batu 17.

Leave a Reply