SHAH ALAM, 19 JULAI 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah melancarkan satu (1) operasi membanteras aktiviti yang disyaki terlibat dengan urus niaga melibatkan barang kawalan bahan api diesel bersubsidi. Sasaran serbuan melibatkan sebuah premis disyaki dijadikan stor simpanan minyak diesel secara haram.

Tindakan operasi melibatkan kekuatan anggota KPDN Selangor seramai enam (6) untuk membanteras aktiviti yang disyaki terlibat dengan penyelewengan barang kawalan bersubsidi bahan api jenis diesel pada 18 Julai 2023 (jam 9.00 malam), di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya.

Operasi ini adalah hasil daripada risikan yang dibuat selama dua (2) bulan dan maklumat hasil risikan disyaki terdapat aktiviti pergerakan kenderaan jenis lori keluar masuk di Kawasan sekitar premis yang disyaki dijadikan sebagai tempat menyimpan atau stor simpanan mi⁸nyak diesel secara haram.

Hasil serbuan mendapati, terdapat satu (1) buah lori tanker berada di dalam kawasan premis disyaki sedang membuat pengisian minyak diesel dari dua (2) buah skid tank dalam premis.

Sewaktu serbuan mendapati berlangsung aktiviti menyedut minyak yang disyaki diesel melibatkan instrumen seperti hos yang bersambung dengan pam penyedut minyak, terdapat juga Skid Tank dan dua (2) lori tangki.

Aktiviti menyedut minyak yang disyaki diesel dipercayai dilakukan oleh tiga (3) suspek yang ditemui berada di dalam premis semasa serbuan. Kesemua suspek dipercayai pemandu lori dan pekerja premis. Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut. Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua (2) lelaki dan salah seorang daripadanya warganegara Myanmar. Seorang lagi suspek adalah wanita juga warganegara Myanmar. Kesemua suspek berumur lewat 50-an.

Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 AKB 1961 telah dikeluarkan terhadap pekerja premis dan pemandu lori.

Serbuan telah melibatkan sitaan seperti pam penyedut minyak bermeter (3 unit), hos getah (3 unit), sebuah lori tanker yang membawa anggaran nilai rampasan melibatkan barangan dan kenderaan adalah sejumlah RM222,200.00. Sitaan melibatkan bahan api yang disyaki minyak diesel adalah anggaran sejumlah 56,000 liter dengan anggaran nilai sitaan RM 121,217.00. Anggaran nilai sitaan keseluruhan dalam tindakan kes ini adalah sejumlah RM 343,417.00.

Satu tindakan kes telah diambil terhadap premis dan pemandu lori berhubung suatu kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Potensi kesalahan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah:
a) Seksyen 21 AKB 1961 – Memiliki barang kawalan berjadual dengan niat untuk melakukan kesalahan.
b) Seksyen 20(1) AKB 1961 – Memindah /membenarkan barang kawalan berjadual disimpan di premis yang tidak berlesen.
c) Peraturan 3 PPKB 1974 – Berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Runggit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta ini.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya, akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

KPDN Selangor juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik dan di saluran rasmi berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan KPDN
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDN
vi. Bilik Gerakan KPDN Selangor (setiap hari 8.00 pagi-6.00 petang) 03 5514 4393

Leave a Reply