editor@aatvnews.com

PENGUNDI KEDAH DIINGATKAN TIDAK TERPENGARUH DENGAN UNGKAPAN GELOMBANG CIPTAAN PN

PADANG TERAP, 23 Julai – Pengundi di Kedah diingatkan agar tidak terpengaruh dengan ungkapan gelombang ciptaan pihak tertentu, yang tidak menggambarkan kemampuan sebenar mereka dalam memerintah sesebuah negeri apabila membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perkara pokok yang lebih penting adalah membuat keputusan memilih pihak yang berupaya memajukan negeri dan bukannya keseronokan melihat gelombang yang sengaja dicipta.

“Perikatan Nasional (PN) ini lebih kepada persepsi dan untuk mencetuskan gelombang semata-mata. Tetapi sebagai rakyat, kita perlu tanya sama ada PRN ini diadakan hanya semata-mata sebab gelombang atau untuk memilih kerajaan?

“Kalau pilih berdasarkan gelombang, mungkin setakat itu sajalah dan sebab itu, kita mesti memilih pihak yang betul untuk menjadi kerajaan. Rakyat sudah tentu nak kepada satu kerajaan yang mantap, progresif dan dinamik yang boleh menghasilkan perkara positif sama ada dalam konteks pendidikan, agama, belia dan ekonomi.

“Apatah lagi kita memiliki kolaborasi mantap dengan kerajaan Persekutuan. Jadi perkara sedemikianlah yang masyarakat kena tengok untuk kita maju dan bukannya ‘tiupan’ gelombang semata-mata kerana itu bukan tujuan pilihan raya diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Terap di Pejabat UMNO Bahagian itu di Kuala Nerang, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mahdzir berkata, ini peluang baginya untuk meneruskan kerja-kerja yang tertangguh di DUN itu setelah gagal mempertahankan jawatan sebagai Ahli Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ada beberapa perkara yang dirancang dan sedang berjalan di kawasan itu sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen namun tertangguh selepas PRU-15. Saya amat memahami keadaan penduduk di situ yang majoritinya terlibat dengan industri getah dan banyak perkara yang boleh dilaksanakan di kawasan tersebut selepas ini,” katanya.

Diminta mengulas pencalonan Ketua Umno Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim untuk menentang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di DUN Jeneri, Mahdzir berkata segala kemungkinan boleh berlaku dengan UMNO sentiasa memiliki keyakinan terhadap setiap individu yang dicalonkan.

“Muhamad Khizri mungkin dianggap sebagai muka baharu malah beliau pun baru saja diangkat sebagai Ketua UMNO Bahagian Sik tetapi dalam politik segala-galanya boleh berlaku. Politik ini dipanggil sebagai seni kepada segala kemungkinan.

“Sesiapa pun tak boleh sombong atau takbur kerana semuanya ketentuan tuhan. Sampai masanya nanti, baru kita tahu apa yang akan berlaku dan sejarah juga telah menunjukkan banyak peristiwa mengejutkan dalam politik,” katanya.

Leave a Reply