KUALA LUMPUR, 23 Julai 2023 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup, YB Datuk Sri Salahuddin Ayub disahkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak semalam.

Allahyarham menghembuskan nafasnya terakhir pada jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, kata anaknya Siti Fatihah melalui hantaran Facebook miliknya sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada jam 9.23 malam, 23 Julai 2023.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar YB Menteri KPDN, Syakirin Husnal memaklumkan bahawa Allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat.

Allahyarham mendapatkan rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum Doktor Pakar mengesahkan YB Datuk Sri Salahuddin mengalami pendarahan otak yang kemudiannya dilaporkan selamat menjalani pembedahan semalam dan berada dalam keadaan stabil.

“Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah Ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.

“Pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

“Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini. Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, katanya dalam satu kenyataan media.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat & ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Aamiin.

Leave a Reply