KUALA LUMPUR, 7 Julai 2022 – Hari ini Jabatan Muzium Malaysia (JMM), agensi dibawah Kementerian Perlancongan, Seni & Budaya (MOTAC) menganjurkan Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil yang bertempat di Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur.
Menurut Menteri Perlancongan, Seni & Budaya, YB Datuk Sri Hajah Nancy Shukri, penganjuran pameran ini amatlah bertepatan sekali untuk mengangkat dan memperkenalkan kepelbagaian sumber motif yang menjadi inspirasi dalam penghasilan seni tekstil tempatan serta menyebarluaskan pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai unsur-unsur motif dalam seni tekstil Melayu, perkembangan idea dan reka corak serta teknik pembuatan bagi penghasilan tekstil.
Pameran Motif Dan Reka Corak ini dibuka kepada orang ramai bermula dari 7 Julai sehingga 31 Disember 2022 bertempat di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara dan ia dijayakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pameran ini juga secara eksklusifnya memperagakan sebanyak 91 koleksi pelbagai kategori milik Jabatan Muzium Malaysia dan 65 koleksi produk akhir hasil karya dan kreativiti para pelajar UITM Cawangan Machang, Kelantan.
Antara koleksi yang dipamerkan ialah koleksi songket, songket limar, kain tenun, kain pelangi, batik, tekat, hiasan kepala, kelingkan, kasut manik dan telepuk. Turut menampilkan hasil lakaran perkembangan idea pelajar yang mewakili sepuluh unsur motif yang dipamerkan.
Dalam pada itu, YB Datuk Sri Nancy turut berkata, “Kenaikan harga barang yang berlaku seluruh dunia ketika tidak menjejaskan industri pelancongan selagi ada pergerakan, disitu jugalah ada rezeki untuk rakyat.
“Sebenarnya pelancongan ini yang membantu menambahkan pendapatan.
“Maka sebab itulah kita nak menggalakkan lebih ramai orang untuk terlibat dalam sektor pelancongan ini, bayangkan sektor pelancongan ini melibatkan mobiliti orang ramai, kalau tiada orang bergerak, tidak akan dapat rezeki, kata ketika ditemui Media selepas merasmikan Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil Lestarikan Martabat Seni dan Warisan Negara disini hari ini.
Pameran ini terbahagi kepada empat segmen yang mengetengahkan sepuluh (10) unsur motif yang sangat dominan dalam dunia tekstil Melayu iaitu motif flora, fauna, alam semulajadi, kosmos, makanan, kaligrafi, alam benda, figura, abstrak dan geometri. Pameran ini juga disemarakkan lagi dengan program Bicara@Muzium dan program Semarak@Tekstil yang berlangsung sepanjang bulan Julai ini.
Antara pengisian program Semarak@Tekstil ini ialah sembang tekstil, demonstrasi pemakaian Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Perak, pelbagai bentuk pertandingan, gerai jualan dan lain-lain aktiviti. Selain beberapa pengisian program sampingan yang diadakan pada setiap hujung minggu sepanjang pameran berlangsung, iaitu pertandingan melukis motif tekstil, mereka corak motif pada poskad, jom buat pop motif fridge magnet dan program tie & dye.
“Penganjuran pameran ini diharap dapat mencapai objektif yang telah disasarkan dan usaha mengetengahkan unsur-unsur motif yang dominan dalam seni tekstil Melayu dapat didokumentasikan. Menerusi pameran ini juga, ia dapat menjadi medium kepada pihak Jabatan Muzium Malaysia untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat dan melestarikan warisan, budaya dan tradisi bangsa yang menjadi lambang dan identiti negara,” jelas Datuk Sri Hajah Nancy.