KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), hari ini mendedahkan laporan hasil siasatan berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran undang-undang dalam pengurusan serta pentadbiran sebuah rumah pemulihan di Rawang, Selangor.

Ia susulan beberapa pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rumah pemulihan membantah tindakan SUHAKAM sehingga menyebabkan premis berkenaan ditutup sementara sebelum menyerahkan memorandum surat bantahan di ibu pejabat agensi itu di ibu negara, pada 12 Mei lalu.

SUHAKAM dalam kenyataannya, berkata pihaknya mendedahkan hasil siasatan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani) di Bukit Beruntung di Rawang, Selangor.

“Pertama, Rumah Insani telah beroperasi secara tidak sah dalam menjalankan program pemulihan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] dan Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615].

“Kedua, pendaftaran salah satu premis dimiliki oleh Rumah Insani telah tamat tempoh dan melanggar Seksyen 4 Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506], selain rawatan dan pemulihan pelatih tidak mematuhi akta sama.

“Ketiga, program penjagaan dan pemulihan kanak-kanak di Rumah Insani bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

“Rumah Insani tidak menghantar pelatih berumur di bawah 18 tahun ke sekolah dan ini melanggar Seksyen 29A (2) Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

“Pelbagai pelanggaran hak asasi manusia bertentangan dengan Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan serta Artikel 3 hingga Artikel 7 Deklarasi Hak Asasi Manusia Universal (UDHR),” menurut kenyataan itu.

Lebih mengejutkan, SUHAKAM turut mendedahkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati beberapa pelatih yang ditempatkan di Rumah Insani tersenarai dalam senarai ‘orang yang dikehendaki’ bagi siasatan polis.

Katanya, kesemua hasil siasatan itu dibuat selaras dengan kuasa siasatan yang diperuntukkan mengikut Seksyen 12 (1) Akta SUHAKAM 1999 [Akta 597].

“SUHAKAM telah menjalankan dan melengkapkan siasatan pada Jun 2023 melibatkan lawatan pemantauan, rakaman keterangan 33 saksi, pengumpulan 49 eksibit, dan perbincangan dengan agensi berkaitan,” demikian katanya.

AATV News sebelum ini melaporkan, seorang pemberita sambilan portal atas talian, Fhatihah, 30-an dihalau keluar daripada membuat liputan bantahan terhadap agensi berkenaan selepas kehadirannya tidak disenangi oleh pihak Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid).

Ia dipercayai berpunca selepas pemberita itu memaklumkan mewakili sebuah portal berita yang pernah mendedahkan pembongkaran rumah pemulihan di negeri sama, yang didakwa mendera dan mengurung pelajar secara salah dan tular di media sosial.

Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI sebelum ini mendedahkan secara eksklusif, sebuah madrasah yang kini namanya diubah kepada rumah pemulihan sehingga tular, selepas didakwa mengurung dan mendera seorang penghuni lelaki secara salah, di Shah Alam.

Laporan itu mendapat pelbagai reaksi daripada polis, SUHAKAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), NGO, peguam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS), dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Isu itu turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam selepas berkongsi ulang siar hantaran, imej ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’ di Instagramnya sebelum ini.