KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyarankan kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Khas berkaitan operasi pusat pemulihan swasta, susulan pendedahan hasil siasatan berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran undang-undang dalam pengurusan serta pentadbiran sebuah rumah pemulihan di Rawang, Selangor.

SUHAKAM dalam kenyataannya hari ini, menyarankan penubuhan jawatankuasa itu sebagai sebahagian langkah pencegahan pelanggaran hak asasi manusia.

“Kerajaan perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan untuk memeriksa, memantau dan membangunkan dasar-dasar berkaitan operasi pusat pemulihan swasta,” menurut kenyataan itu.

Selain penubuhan itu, SUHAKAM dalam kenyataan sama turut menyenaraikan beberapa syor untuk pertimbangan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),

“JKM dan MAIS menyemak semula pendaftaran dan operasi Rumah Insani dengan mengambil kira dapatan SUHAKAM dan pendakwaan oleh Polis DiRaja Malaysia.

“Agensi berkaitan seperti JKM, Majlis Agama Islam, dan AADK perlu menyemak semula pendaftaran, memantau pusat pemulihan lain yang berdaftar secara berterusan bagi memastikan program penjagaan dan pemulihan dijalankan mengikut peraturan sedia ada,” katanya.

Pada masa yang sama, SUHAKAM menggalakkan orang ramai untuk berkongsi maklumat secara aktif dan melaporkan sebarang kejadian pelanggaran hak asasi manusia di mana-mana fasiliti pemulihan atau penjagaan.

SUHAKAM menyeru semua pihak untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani isu ini dan menggesa pihak berkuasa untuk terus memantau operasi semua pusat pemulihan di Malaysia.

Terdahulu, SUHAKAM, dalam kenyataannya berkata pihaknya mendedahkan hasil siasatan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani) di Bukit Beruntung di Rawang, Selangor.

Ia susulan beberapa pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rumah pemulihan membantah tindakan SUHAKAM sehingga menyebabkan premis berkenaan ditutup sementara sebelum menyerahkan memorandum surat bantahan di ibu pejabat agensi itu di ibu negara, pada 12 Mei lalu.

AATV News sebelum ini melaporkan, seorang pemberita sambilan portal atas talian, Fhatihah, 30-an dihalau keluar daripada membuat liputan bantahan terhadap agensi berkenaan selepas kehadirannya tidak disenangi oleh pihak Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid).

Ia dipercayai berpunca selepas pemberita itu memaklumkan mewakili sebuah portal berita yang pernah mendedahkan pembongkaran rumah pemulihan di negeri sama, yang didakwa mendera dan mengurung pelajar secara salah dan tular di media sosial.

Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI sebelum ini mendedahkan secara eksklusif, sebuah madrasah yang kini namanya diubah kepada rumah pemulihan sehingga tular, selepas didakwa mengurung dan mendera seorang penghuni lelaki secara salah, di Shah Alam.

Laporan itu mendapat pelbagai reaksi daripada polis, SUHAKAM, JKM, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), MAIS, AADK, NGO, peguam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Isu itu turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam selepas berkongsi ulang siar hantaran, imej ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’ di Instagramnya sebelum ini.