PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk menyiasat bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung dua mesej berasingan yang tular.

Dalam satu sidang medianya, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pihaknya hadir ke SPRM bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan pihak berkuasa berhubung dakwaan Radzi yang dikatakan terlibat dalam isu pemberian kontrak penyelenggaran sekolah serta pencetakan buku J-Qaf.

Beliau mendakwa, menerusi mesej pertama yang tular, Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan memperoleh dana politik daripada seorang individu berpangkat ‘Datuk’ yang membolot kesemua projek penyelenggaraan sekolah.

“Individu ini dikatakan akan ke semua sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tanpa melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya di hadapan bangunan SPRM.

Dalam pada itu, Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata di dalam mesej kedua pula Radzi didakwa bersetuju meluluskan projek rundingan terus pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah kepada seorang individu bergelar ‘Tengku’.

Beliau mendakwa semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap sebuah syarikat yang dinamakan tersebut juga wujud.

“Hari ini kita hadir untuk membuat aduan rasmi kepada SPRM agar menyiasat mesej tular ini,” katanya.

Leave a Reply