KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal akta baharu khusus berkaitan warga asing yang menjalankan perniagaan di negara ini didakwa kebanyakannya bekerja tanpa dokumen peribadi dan permit sah.

Perkahwinan dengan orang tempatan selain dilindungi sindiket dipercayai antara alasan lapuk golongan berkenaan untuk terus berniaga tanpa dikenakan tindakan, sebaliknya pula mencabar orang tempatan kerana sukar berniaga di negara sendiri.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Nambikkai Kebangsaan Malaysia (Nambikkai), Datuk Dr Kalai Vanar yang membantah aktiviti perniagaan melibatkan warga asing tanpa dokumen sah, dengan menggesa kerajaan menggubal akta baharu berkaitan isu itu.

“Mereka (warga asing) datang, bukan kita cemburu. Kalau mereka ada permit, sah diberi kerajaan (untuk berniaga) mereka buatlah.

“Tapi, mereka datang (sini) syok, cabar orang kita, dia kata apa, You orang Malaysia susah (berniaga), saya senang, saya boleh buat, tengoklah.

“Warga Malaysia dianaktiri, warga asing diagung pula. Perundangan harus segera digubal. Sekiranya warga asing berkahwin dengan warga tempatan, kalau nak buat berniaga, jangan bagi lesen tapi perkara remeh ini kenapa tak boleh selesai,” katanya pada sidang media di Restoran Sri Paandi, di perkarangan Little India, Brickfields, di sini, pada Rabu.

Aktivis sosial itu mendedahkan, selain tidak mempunyai dokumen sah, mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk berniaga dan lesen perniagaan dimiliki orang tempatan.

Beliau juga kecewa dengan pihak berkuasa seolah-olah bertindak menutup sebelah mata apabila melibatkan peniaga warga asing, tidak terus membatalkan lesen perniagaan warga tempatan yang menyewakan lesen atau menggunakan warga asing tanpa permit untuk berniaga.

“Dua hari saya meninjau sekitar Wilayah Persekutuan termasuk di sini, ada 237 penjual warga asing seperti Punjab, Pakistan, Tamil dan Telegu dari India Selatan, Indonesia, menjual makanan manisan tradisi India dan bunga, meletakkan meja besar di laluan deretan pejalan kaki lot kedai,

“Saya percaya lebih 10 kali penguasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) berjalan (di sini), ibarat cerita P Ramlee, hantu lalu pun buat tak pandang,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak dan agensi kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing berkenaan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, iaitu menyalahguna pas lawatan sosial, selain diusir keluar disenaraihitam sekiranya ditangkap atas kesalahan berkenaan.

Beliau turut menyeru lebih ramai individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat memperjuangkan isu sama, tampil bersama dengannya memerangi habis-habisan.

Terbaharu, di akaun Tiktok menggunakan nama Pejuang Bangsa 30, memuatnaik rakaman video menunjukkan sekumpulan warga asing dipercayai Bangladesh dalam bot dengan nombor siri sedang PKS3594 menggunakan pukat bubu naga di perairan laut negara.

Rakaman itu turut menyelitkan kenyataan sudah membuat laporan terhadap pihak berkuasa maritim tetapi dipercayai tidak berlaku apa-apa tindakan.

Leave a Reply