KUALA LUMPUR – Peluang bekerjasama dengan ST12 menerusi single Harapan Tak Kunjung Usai diharap memberi ruang buat penyanyi Hazama menembusi pasaran muzik di Indonesia.
Hazama berkata, bukan semua penyanyi di Malaysia mendapat jalan mudah untuk ke sana, namun dia bersyukur apabila kerjasama menerusi single ini bagaikan membuka jalan untuknya.
Harapan Tak Kunjung Usai sudahpun dilancarkan di Indonesia pada 5 September lalu dan lagu ciptaan Pepep ST12 itu adalah kerjasama dua negara iaitu PT Dua Suara Media dan Luncai Emas Sdn Bhd.
Berkongsi perasaannya, Hazama berkata, pada awal dia bimbang dengan sambutan peminat di sana takut ada yang tidak suka.
“Saya gembira dan teruja kerana mereka semua memberi sokongan penuh sepanjang saya membuat promosi lagu itu di sana.
“Ramai yang suka kolaborasi kami untuk lagu ini kerana itulah akan ada single kedua daripada kami nanti,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu Harapan Tak Kunjung Usai, baru-baru ini.
Hazama berkata, pada awal bukan mudah untuknya menerima tawaran itu kerana banyak faktor perlu diambil kira.
“Saya mengambil sedikit masa kerana mahu mencari keserasian muzik antara saya dan ST12.
“Saya tidak mahu dibayangi ST12 dan biarlah kekal dengan cara dan lenggok sendiri tetapi untuk single ini saya perlu menyesuaikannya dengan konsep dan muzik mereka.
“Saya juga berharap kolaborasi ini akan berterusan tidak hanya saya tetapi semua artis Malaysia dan Indonesia dapat terus bersama-sama mengembangkan karya muzik di kedua-dua negara,” katanya.
Hazama berkata, dia juga tidak menolak jika diberi peluang mengadakan konsert di sana satu hari nanti.
“Pastinya ia satu peluang yang sudah lama saya nantikan, jika ada peluang dan kesempatan itu saya tidak akan tolak.
“Bertemu mereka untuk pelancaran single ini sahaja sudah cukup buat saya rasa teruja apatah lagi jika mengadakan konsert di sana,” katanya.
Sementara itu, mewakili ST12 Pepep berkata, mereka tidak ada masalah berkolaborasi dengan mana-mana artis Malaysia.
“Pada awal kami tidak kenal dengan Hazama tetapi pernah mendengar lagunya.
“Ketika kami membuat survey mengenai kolaborasi ini boleh dikatakan hampir semua peminat bersetuju dan menyokong penuh usaha kami berkongsi lagu dengan Hazama,” katanya.