SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini melepas dan membebaskan Tokoh Wartawan Rakyat, Wan Noor Hayati Wan Alias daripada pertuduhan menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak dan mempersendakan ayat al-Quran, kira-kira dua tahun lalu.

Pada prosiding sama, wang jaminan bagi tiga pertuduhan terhadap Wan Noor Hayati akan turut dikembalikan.

Hakim Syarie, Salehan Yatim memutuskan demikian selepas Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Atras Mohamad Zin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap wanita berkenaan berikutan sudah meninggal dunia pada 10 Julai lalu.

Wan Noor Hayati didakwa kesalahan melalui Facebook kononnya menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, antara 2 Disember 2020 hingga 30 Januari 2021.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan enam kali atau dihukum dengan kombinasi hukuman itu.

Terdahulu, arwah bekas profesor madya sebuah universiti tempatan Prof Madya, Abdul Hamid Yeop Zainuddin antara yang didakwa dalam pertuduhan sama, turut dilepas dan dibebaskan di mahkamah sama pada 15 Mac 2022.

Abdul Hamid turut didakwa mengikut Seksyen 7 (1) dan satu pertuduhan mempersendakan ayat al-Quran mengikut Seksyen 9 Enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang, dekat sini pada jam 9 malam, 2 Februari 2021.

Kedua-dua individu berkenaan diwakili peguam bela, peguam syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus.

Sementara itu, seorang lagi individu, pembantu tadbir, Noor Rafiza Ahmad, yang turut didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 7 enakmen sama, turut dilepas dan dibebaskan pada 16 Januari 2024, di mahkamah sama.

Noor Rafiza sebelum ini diwakili Mohd Noor Aizan, namun kemudian diwakili peguam syarie, Fadilla Shaharom dari Tetuan Adila Aziz & Associates untuk kali pertama ketika prosiding berlangsung.

Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan wang jaminan serta barang rampasan kes dikembalikan manakala buku dan beberapa nota kes diluputkan.

*DIKEMASKINI PADA 17 JANUARI 2024