BUKIT JALIL – Memenuhi citarasa orang Malaysia yang meminati filem Tamil, syarikat MSK Cinemas Sdn Bhd (MSK) secara eksklusif membawa naskhah ‘comedy-horror’ yang paling dinantikan, Chandramukhi 2 dalam versi sari kata Bahasa Melayu.
Pengarah MSK, M S Kalai, berkata selaku pengedar utama filem Tamil, Chandramukhi 2 ditayangkan dalam ‘subtitle’ (sari kata) Bahasa Melayu di beberapa pawagam utama terpilih di seluruh negara.
“Oleh kerana ada permintaan tinggi ketika memuatnaik ‘trailer’ filem ini di media sosial, jadi kami bawakan secara eksklusif dalam subtitle Bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Chandramukhi 2 di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Sementara itu, pengarah bersama MSK yang juga isteri Kalai, S Saradha berkata, Chandramukhi 2 menemui peminat di 88 pawagam seluruh Malaysia dengan lebih 200 skrin tayangan termasuk TGV Cinemas, GSC, dan MBO Cinemas, selain MM Cineplexes, LFS Cinemas dan pawagam bebas, bermula 28 September lalu.
“Sepatutnya ia mula ditayangkan pada 15 September tetapi ditangguhkan kerana pihak produksi, Lyca Productions mahu menambahbaik grafik dan sinematik filem,” katanya.
Lanjut mengenai Chandramukhi 2, Saradha berkata, filem sekuel kali ini lebih mendalam dan ada unsur imbas kembali bagaimana episod Chandramukhi, seorang penari wanita cantik bermula, kemudian seorang raja jatuh hati padanya, sebelum ditawan oleh Vettaiyan Raja.
“Jalan cerita lebih kurang seperti filem asal, masuk istana lama, cuma watak utama digantikan pelakon lain, dan satu dua orang saja masih kekal. Bagaimana pengakhirannya, kita kena tontonlah cerita ini,” selorohnya.
Bekas menteri yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pelakon Tamil tempatan, Denes Kumar antara hadir menyaksikan tayangan filem berkenaan.
Chandramukhi 2 adalah kesinambungan karya agung P Vasu, Chandramukhi (2005), dibintangi pelakon ‘Superstar’ Kollywood, Rajinikanth dan co-star, Jyothika Saravanan yang pernah ‘meletop’ dan menjadi ‘all-time favourite’ bagi peminat industri filem Tamil.
Penampilan hebat pengarah filem dan aktor terkenal, Raghava Lawrence mendokong watak dual iaitu Pandian dan roh Vettaiyan Raja (Sengottaiyan) bersama aktres Bollywood termahal India, Kangana Ranaut membawa watak penting, Chandramukhi sebenar dalam sekuel berkenaan.
Turut membarisi filem terbitan Subashkaran itu antaranya pelakon komedi, Vadivelu (Murugesan) dan pelakon hebat lain, Raadhika Sarathkumar (Ranganayaki), Lakhsmi Menon (Divya dan roh Chandramukhi), serta Mahima Nambiar (Lakshmi).
Lagu ‘soundtrack’ daripada album M M Keeravani, tarian dan koreografi Chandramukhi 2 memenuhi citarasa semua peringkat audiens.
Difahamkan, Chandramukhi asal adalah ‘remake’ kepada filem Kannada bertajuk Apthamitra (2004) diarahkan pengarah sama, manakala Apthamitra pula ‘remake’ kepada filem Malayalam, Manichitrathazhu (1993).
Untuk maklumat, MSK sudah bertapak dalam negara dengan menerbitkan filem dan drama series tempatan untuk stesen televisyen arus perdana sebelum mula menjadi pengedar bagi filem produksi Lyca Productions ke seluruh dunia.