KUALA LUMPUR – Band pop terkenal Indonesia, Bagindas akhirnya mengotakan janji bagi kemunculan konsert sulung mereka di Malaysia, menerusi Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu di ZEPP KL, pada 30 November depan.
Bagindas berjanji akan kembali dan kali ini bakal menggegarkan pentas dengan skala tersendiri selepas tampil mengejut dan memukau dalam konsert mega rakan seperjuangannya, Kangen Band di sini September lalu.
Terkenal dengan genre pop dalam industri lokalnya, vokalis Andra berkata Bagindas sentiasa menantikan peluang untuk mengadakan konsert di pentas muzik Malaysia, pentas yang dinantikan untuk pemuzik mengadakan konsert.
“Ini kali pertama ‘single concert’ di Malaysia dan kami menepati janji untuk realisasikannya.
“Hubungan dengan penganjur, Purosangue Entertainment bukan setakat sahabat bilateral, tetapi mereka ada solusi untuk bantu adakan konsert di sini,” katanya pada sidang media sempena konsert berkenaan di Zepp Lounge, Zepp KL, di sini, malam tadi.
Andra malah menganggap tahun ini sebagai tahun bertuah Bagindas ke Malaysia kerana dapat menemui peminat pada waktu yang tepat.
Mengulas lanjut, Andra berkata Bagindas bakal melayani peminat dengan persembahan berdurasi dua jam bermula jam 8 malam, dalam tiga sesi berbeza masing-masing versi laras ‘unplugged’, ‘remix’ dan pop.
“Sesuatu cukup istimewa juga apabila konsert ini menampilkan kolaborasi bersama DJ Rycko Ria, yang akan memberi nafas baharu dan susunan komponen lagu terdahulu mengikut kesesuaian halwa telinga bertepatan dengan citarasa peminat masa kini,” katanya.
Kumpulan pemuzik kelahiran Kota Malang yang turut dianggotai Ferry (Gitar), Ragil (Drum), dan Wendy (Bass), itu terkenal dengan lagu paling ‘melekat’nya, Suka Sama Kamu, 100 Cintaku dan C.I.N.T.A, kira-kira 10 tahun lalu sehingga kini, dan pernah berehat dari dunia seni seketika sebelum kembali dengan wajah baharu.
Sementara itu, penganjur Purosangue Entertainment berkata, Bagindas bukan asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air.
“Bagindas akan menyanyikan mungkin lebih 16 lagu. Kebanyakan lagu mereka cukup melekat dan menjadi pujaan peminat di kedua-dua negara.
“Jadi, melihatkan sambutan dan sokongan diberikan kepada Bagindas membuatkan kami cukup yakin untuk menganjurkan konsert ini dan percaya kumpulan ini mempunyai pengikut tegar di sini,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu dijual pada harga RM3,600 (VIP Box); RM200 & RM225 (Seating); RM179 (Normal Standing); RM139 (Early Bird).
Pembelian tiket akan bermula hari ini di laman web www.purosangue.live