KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Selangor mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan isu berkaitan sejumlah 500 keluarga yang tinggal di Kampung Setia Jaya yang di paksa berpindah oleh pihak pengurusan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC).
Ketua Penerangannya, Mohamed Shahrin Ismail berkata amat menyedihkan permohonan demi permohonan untuk pemilikan hak tanah yang diduduki tidak mendapat kelulusan dari pihak kerajaan walaupun majoriti penduduk yang tinggal dikawasan Kampung Setia Jaya adalah orang Melayu.
“Mereka telah mengorbankan masa mereka menduduki tanah tersebut secara tidak langsung menjadi pengundi di kawasan parlimen Wangsa Maju mewakili 4 generasi yang selayaknya diberikan hak pemilikan tanah walaupun tanah tersebut di gazet kan sebagai Tanah Rezab Melayu,” katanya kepada AATV News.
Shahrin berkata susulan daripada surat saman yang telah di keluarkan oleh peguam TARUC pada 15 Februari 2022, wakil mereka telah menawarkan sebiji rumah sebagai pampasan untuk rundingan pertama.
Beliau berkata sumber daripada penduduk kampung Setia Jaya berkata selepas itu telah di ubah kepada sejumlah duit sebagai pampasan untuk rundingan kali kedua dan tawaran pemindahan tersebut tidak dapat diterima oleh penduduk kampung.
“Isu tersebut berlanjutan sehingga wakil peguam penduduk Kampung Setia Jaya hadir ke mahkamah pada 11 Disember 2023 yang lepas dan telah diarahkan membawa hujahan tambahan pada 19 Disember 2023 ini,” katanya.
PUTRA Selangor berharap agar keputusan mahkamah pada 19 Disember ini boleh dibicarakan dan penduduk kampung boleh melantik peguam pencelah untuk memastikan nasib penduduk Kampung Setia Jaya dapat dibela dengan seadil-adilnya.
Katanya, dengan nilai semasa hartanah di kawasan Hulu Kelang yang sangat tinggi ditambah lagi kawasan kampung tersebut meliputi keluasan hampir 50 ekar yang dianggarkan bernilai RM2 bilion.
“Ini berikutan berada di tepi laluan MRR2 sangat strategik menjadi sebab utama mengapa mereka perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya bukan di halau keluar seperti mereka ini golongan setinggan yang baru menduduki tanah tersebut,” katanya.
PUTRA Selangor bersama beberapa NGO turut hadir turun padang membuat tinjauan berkenaan isu Kampung Setia Jaya ini.
Turut hadir Presiden PUTRA Datuk Ibrahim Ali ,Naib Presiden PUTRA Datuk Asmawar Samat , Setiausaha PUTRA Tuan Rosli Idris, Ketua Penerangan PUTRA Malaysia Shahrulufti Sharif, Ketua Wira PUTRA Malaysia Nasrul Ali Hassan, Ketua Wirawati PUTRA Malaysia Nurfaizah Jamaluddin, Ketua Penerangan PUTRA Negeri Selangor Shahrin Ismail dan beberapa Exco Wira Malaysia serta NGO PASKAD Malaysia Sulaiman Mydin.