KUALA LUMPUR – Biarpun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini tidak menyebelahi kepada Barisan Nasional (BN), namun itu tidak memberi kesan kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan, kata seorang pemimpin UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPR Abdul Razak Abdul Rahman berkata bagaimanapun beliau berpandangan sudah tiba masa untuk partinya menyediakan ‘road map’ yang jelas bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Pihak kepimpinan, pengurusan, peringkat pusat dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu sediakan road map jelas tentang hala tuju dan strategik ke mana kita nak hadapan PRU16 dalam 3 hingga 4 tahun lagi.

“Kena ada satu road map jelas bagi menarik kembali sokongan khasnya orang Melayu kepada UMNO dan BN,” katanya kepada AATV News.

Keputusan PRK Kemaman menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Raja Mohamed Affandi dengan 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi. 

Kata Abdul Razak lagi, demografi dan pola pengundi masa ini sudah berbeza berbanding PRU terdahulu.

Beliau berkata perkara yang perlu difokuskan adalah dari segi pengundi muda dan cara pastikan mereka kekal bersama UMNO.

“Hujung sekali pastikan UMNO dan BN boleh tarik kembali pengundi ini kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata dalaman UMNO perlu diperkemaskan kembali dan perlu ada gerak kerja yang jelas.

Beliau berkata ini kerana melihat ada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak mempertahankan parti dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila dikritik.

“Tidak back up dan bertindak balas. Sekurang-kurangnya memberi kenyataan balas untuk menjawab. Harap MKT menang dan dipilih bekerjalah.

“Masa ini kena kerja sebagai satu pasukan dan buang mana-mana Ahli MKT yang tidak membantu parti,” katanya.

Leave a Reply