editor@aatvnews.com
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin, hari ini sekali lagi membidas pemimpin DAP. Dalam satu kenyataan melalui hantaran di Facebook beliau, Shaiful memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya jangan sesekali cuba untuk mengapikan kemarahan UMNO dengan mengulangi berkali kali isu pilihanraya kerajaan tempatan.
Shaiful menegaskan bahawa UMNO sangat tidak selesa isu ini terus diputarkan dan UMNO sudah menolak berkenaan isu ini.
“Apa pun rasionalnya, nasihat saya jangan selalu sangat menjolok sarang tebuan, mungkin 1 atau 2 kali sempat lari terjun sungai, kali ke-3 belum tentu. Sudah-sudah lah DAP, hakikatnya UMNO dah tolak dan sangat tidak selesa apabila isu ini terus dijentik dan diutarakan berulang kali.”
Shaiful mempersoal DAP bahawa adakah mereka selesa jika UMNO mula memanggil parti itu sebagai anti-Islam, anti-Melayu dan komunis. DAP sewajarnya meninggalkan politik perkauman dan agama dan hanya terus fokus untuk ke depan atas dasar perjanjian dan persefahaman sudah dicapai, ujarnya.
“Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin DAP, selesa tak kalau UMNO berulang kali ulangi bahawa DAP ni anti-islam, anti-melayu dan komunis? Perjanjian dah ditandatangani, persefahaman sudah dicapai, “move forward” dan janganlah kembali pandang kebelakang mengunjungi episod kemelut politik perkauman dan agama.”
Ketua UMNO Bahagian Merbok itu juga meminta pemimpin atasan DAP untuk mengawal tindakan mereka dan jangan membawa perkara yang tidak membawa kebaikan kepada negara serta tidak bersikap terlalu ekstrem. Dalam pada itu, beliau juga menambah bahawa tindakan DAP ini boleh membawa kepada ketidakstabilan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Saya mohon pimpinan besar DAP sedikit menahan nafsu utk Malaysia yg lebih baik. Cukup-cukup lah “test market”, tak bawak kebaikan pada negara. Malahan sudah tentunya akan bawa ketidakstabilan kepada kerjasama baru Kerajaan Perpaduan. Korbankan lah agenda picisan ini untuk Malaysia yang lebih baik dan progresif,” ujarnya.