KUALA LUMPUR – TikTok Shop dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menjalin kerjasama strategik dengan tujuan memperkasakan ekonomi golongan peniaga mikro B40.
Kerjasama ini turut melibatkan sumbangan kewangan dari sebahagian hasil jualan Battle Live Show 11.11 TikTok Shop kepada lebih 30 orang usahawan mikro warga Kuala Lumpur.
Selain itu, inisiatif itu bertujuan menyediakan inspirasi, kesedaran dan bimbingan kepada komuniti B40 tentang pelbagai saluran pendapatan mudah melalui perkongsian kisah kejayaan yang nyata.
TikTok Shop juga akan menyalurkan maklumat tentang sokongan agensi-agensi kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada peniaga mikro B40.
Sejak bermula operasi di Malaysia secara aktif pada April 2022, TikTok Shop telah berjaya menyokong lebih daripada 1 juta peniaga, dengan peningkatan jualan tahunan sebanyak 187%.
Daripada jumlah tersebut, 70% adalah peniaga individu yang berjaya memanfaatkan konsep “Shoppertainment” yang diperkenalkan oleh TikTok Shop.
Konsep ini membolehkan peniaga, termasuk yang tidak memiliki produk, menjana pendapatan melalui video pendek, penstriman langsung, shop tab, dan menjadi antara 1.7 juta kreator affiliate di platform TikTok.
Antara objektif utama kerjasama itu adalah memberi inspirasi dan motivasi kepada komuniti B40 yang ingin mengembangkan pendapatan melalui jualan online, sambil menawarkan platform untuk meningkatkan dan memupuk pertumbuhan ekonomi mereka.
Dalam pada itu, objektif lain adalah meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk B40, memastikan mereka dapat memahami dan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital.
“Mengukuhkan kehadiran pasaran dan menunjukkan komitmen TikTok Shop dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk memperkasa ekonomi masyarakat Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, diharapkan lebih ramai peniaga mikro B40 dapat merasai manfaat daripada perkembangan pesat dalam bidang e-dagang, serta menjadikan literasi digital sebagai alat utama dalam meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan mereka, selaras halatuju yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Wilayah Persekutuan,” kata YWP.
Program yang dihadiri oleh lebih 150 orang ini dirasmikan oleh Zahir Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju merangkap Ahli Pemegang Amanah YWP, dengan kehadiran ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP yang lain dan Ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat YWP.
Rakan strategik korporat dan rakan media dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Kampung Bharu (PKB), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Unifi, Astro Awani dan Arcadin Services turut hadir dalam program itu.