KUALA LUMPUR – DAP diingatkan supaya tidak menjadikan UMNO sebagai “bomba” untuk urusan “fire fighting” bagi memadam api kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap perangai segelintir pemimpin DAP.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata terdapat pemimpin DAP yang masih ultra dan cauvinis dengan menyentuh perihal Islam serta Melayu.

Beliau berkata demikian selepas pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham mencadangkan pakar bukan kalangan orang Islam untuk Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkmah Syariah yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah telah memohon kemaafan atas sikap Ngah Koo Ham.

“Dulu zaman Pakatan Harapan (PH) 1.0 bolehlah sebab Bersatu yang perdana menterinya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu mengawal DAP tetapi jangan cuba-cuba dengan UMNO yang kini sebahagian dalam sistem kerajaan.

“Kami lebih garang dan tegas dalam mempertahankan empat perkara asas Melayu dan Islam. Itu juga yang dilafazkan oleh DAP ketika kerajaan perpaduan ingin ditubuhkan,” katanya.

Gulam yang juga Ketua Bahagian UMNO Batu mengingatkan kepada DAP bahawa UMNO juga ada tahap sabar.

“DAP jangan “langsi”. Ingin juga saya cadangkan kepada kerajaan agar tubuhkan semula Biro Tata Negara dan hantar ahli-ahli DAP untuk fahamkan mereka apa itu Perkara 3 dan 153 Perlembagaan Negara,” katanya.

Leave a Reply