KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memberi sumbangan khas kepada tujuh orang warga Kuala Lumpur yang kurang berkemampuan dan miskin.
Bantuan itu diberikan sebagai tanda prihatin dalam usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang miskin dan kurang berkemampuan.
Ini selari dengan usaha dan Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menoktahkan kemiskinan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.
Beliau turun padang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di Bangunan Giatmara Batu, Jalan Batu Muda.
Tujuh orang warga Wilayah Persekutuan yang kurang bernasib baik ini menerima bantuan khas adalah Rohayah Hassan yang menetap di Flat Bdr Baru Sentul.
Bantuan ini disalurkan memandangkan pemohon mengidap penyakit Jantung, kencing manis dan darah tinggi hampir 10 tahun.
Kini tinggal bersama anaknya yang sudah bekeluarga dan menanggung 5 orang anak yang bersekolah.
Penerima kedua pula, Norazman Mohamad Razali yang menetap Perumahan Awam PPR Batu Muda.
Pemohon dan isteri merupakan OKU (Pekak & Bisu) Pemohon mengidap penyakit Jantung tersumbat. menanggung empat orang anak yang bersekolah.
Penerima ketiga, Jameah Hussin yang menetap di Taman Koperasi Polis 2 menerima bantuan memandangkan pemohon merupakan warga emas yang berumur 75 tahun yang mengidap penyakit kemurungan, kencing manis & darah tinggi.
Kini anaknya terpaksa berhenti kerja bagi menjaganya yang lupa ingatan dan sering berjalan seorang diri.
Penerima keempat, Syazana Selvarani Abdullah yang menetap di Taman Batu Permai.Pemohon mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Kakinya semakin hitam (bengkak & berlubang) dan perlu rawatan cuci luka kerana bimbang akan semakin merebak dan teruk.
Beliau tinggal bersama anak perempuannya yang terpaksa berhenti kerja bagi menjaga ibunya sepenuhmasa.
Penerima kelima, Santoso Pairan yang menetap di Perumahan AwamTaman Batu Muda. Isteri pemohon mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan kini menjalani dialisis 3 kali seminggu. Pemohon juga mengidap penyakit kencing manis & gout.
Penerima keenam, Mohd Saiful Nazuwan Zainol yang menetap di Kampung Setia Jaya, Setapak.
Rumah pemohon telah dilanda ribut dan ditimpa pokok yang telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian bumbung rumah. Mempunyai dua orang anak yang mengidap penyakit masalah pernafasan & seorang lagi mengidap penyakit TB paru-paru.
Penerima ketujuh, Zulkarnain Morad yang menetap di Taman Batu Muda. Pemohon mengidap penyakit Jantung Lemah, darah tinggi dan kencing manis. Isterinya mengidap penyakit kencing manis.
Beliau kini tinggal dirumah pusaka, hanya disebuah bilik & sebahagiannya telah disewakan. pendapatan sewaan diagihkan kepada adik beradiknya.
Sumbangan tersebut diselaraskan oleh Timbalan Pengurus Besar YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir. Turut serta Rohani Hussin Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP dan wakil penyumbang Datuk Tong Kim Eng dari Tahap Warisan.
Sementara itu, Gulam bersyukur YWP dapat memberikan bantuan kecemasan dan perubatan kepada pihak yang memerlukan.
Beliau juga gembira dapat mengumpulkan semua penerima dan menyerahkan bantuan secara terus.
“Bantuan diberikan secara ‘one off’. Selepas itu bantuan lain akan diteruskan Baitulmal.
“Tak nak tunggu lama beri bantuan. Bantuan diberikan berbentuk wang tunai RM500. Gunakan duit itu sebaik mungkin,” katanya.