editor@aatvnews.com
PUTRAJAYA, 30 Januari 2024 – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memeriahkan Kuching Waterfornt, Sarawak pada 3 dan 4 Februari 2024 dengan satu lagi program perpaduan masyarakat Malaysia iaitu FoodUnites.
Program ini akan dirasmikan oleh YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pada 3 Februari 2024 (Sabtu).
Program FoodUnites merupakan satu lagi inisiatif KPN bertujuan untuk menghidupkan semula dan mengekalkan makanan warisan sebagai simbol perpaduan di Malaysia. Lebih khusus lagi, program ini menitikberatkan usaha untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran terhadap makanan tradisi, khususnya di kalangan generasi muda.
FoodUnites bukan hanya sekadar festival makanan, tetapi juga sebuah perhimpunan budaya yang merentasi waktu, membawa kehidupan kepada ceritacerita di sebalik setiap hidangan, dan mengajak masyarakat untuk menghargai kekayaan kuliner yang menjadi warisan kita. Mari bersama-sama menjelajah dan menghormati keunikan cita rasa Malaysia melalui program FoodUnites dengan menjadikan makanan sebagai jambatan penyatupaduan di tengah kepelbagaian kita.
Tiga (3) objektif utama program ini adalah:
a) Perpaduan Kaum:
Memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia dengan menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi setiap kaum.
b) Warisan Makanan:
Mengangkat dan melestarikan makanan sebagai warisan negara yang harus dijaga dan diwarisi oleh generasi muda.
c) Kepelbagaian Malaysia:
Menyatukan masyarakat Malaysia melalui kepelbagaian makanan sebagai cerminan tanda keunikan dan keharmonian negara.
Program ini akan menampilkan Laksa Sarawak sebagai makanan utama, serta enam (6) lagi makanan tradisi yang mewakili setiap kaum, antaranya Nasi Lemak, Char Kuey Teow, Nasi Briyani, Latok, Ayam Pansuh, dan Kek Lapis.
Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan kepada pengunjung, termasuk Zumba, Permainan Tradisional, Cabutan Bertuah, Kesenian dan Kebudayaan, Pameran, Pertandingan, dan banyak lagi.
Seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Negeri Sarawak dijemput berkunjung ke FoodUnites dan menyemarakkan lagi program ini dengan semangat dan satu tujuan yang sama, iaitu memperkukuh perpaduan di antara kita semua.
Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke program ini bersama-sama keluarga dan sahabat handai, masuk adalah percuma! bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 3 dan 4 Februari ini.
Untuk info lanjut sila layari laman facebook Kementerian Perpaduan Negara.